Pada 1-5 November 2013, mahasiswa tahun akhir kejuruteraan mekanikal Aeronatuik UTM telahpun menganjurkan penjelajahan mengelilingi semenanjung Malaysia dengan menaiki motorsikal. Dengan kekuatan krew hanya seramai 10 orang, 3 orang telahpun dipilih untuk menunggang motorsikal bagi program ini. Pengembaraan ini juga bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014.Ia juga dianjur bagi memperingati hijrah baginda Nabi Muhammad s.a.w yang sanggup merentas halangan untuk mengembangkan ajaran Islam, dan ia menjadi tonik berharga untuk para peserta untuk ekspedisi kali ini.
Setelah segala persiapan telahpun dilakukan, termasuklah mendapatkan maklumat-maklumat penting dari penunggang motorsikal yang lain yang telahpun mengelilingi semenanjung Malaysia. Maklumat mengenai jumlah jarak perjalanan, jumlah kos, penempatan untuk bermalam dan lokasi yang menarik telahpun dilakukan demi memastikan perjalanan berjalan lancar.
Pengembaraan pada hari pertama dimulakan seawal jam 7.00 pagi. Setelah doa dibacakan oleh ketua ekspedisi, Muhammad Afdhaluddin Mohd Yusof, para penunggang terus memulakan perjalanan. Perjalanan untuk hari pertama merupakan jarak perjalanan paling jauh sekali, sekitar 750 kilometer dari Johor Bahru menuju ke Georgetown, Pulau Pinang. Cuaca yang baik pada sebelah pagi membolehkan perjalanan berjalan lancar dari Johor Bahru hinggalah ke Sungai Buloh. Sebaik sahaja tiba di Sungai Buloh, hujan mula membasahi bumi. Lantas para peserta terus mengenakan baju hujan bagi mengelakkan dari basah kuyup. Peralatan di dalam beg juga dimasukkan di dalam plastik bagi memastikan keperluan yang dibawa tidak basah dan rosak. Keadaan jalan yang licin memaksa para peserta menunggang kenderaan dengan lebih berhati-hati. Cuaca semakin baik setelah melepasi kawasan Ipoh sehinggalah kami tiba di jeti feri di Butterworth. Pada sebelah malamnya, kami bersiar-siar di sekitar Bandar Georgetown, Bandar warisan dunia UNESCO. Pelbagai tempat menarik telahpun dilawati dan pastinya ia mampu menarik perhatian pelancong baik dalam mahupun luar negara.
Berehat sambil melihat jarak perjalanan melalui peta |
Pada hari kedua, perjalanan diteruskan lagi dengan menuju ke Padang Besar sebelum bertolak ke Gerik. Para peserta menghadapi permasalahan kerana hentian rehat Gurun ditutup untuk kerja-kerja pembaikan dan ini memaksa kami keluar dari lebuhraya untuk mencari stesyen minyak berdekatan. Para peserta tiba di Padang Besar sekitar jam 1.00 petang. Padang Besar yang terkenal sebagai pusat membeli belah bagi para pelancong yang berkunjung ke negeri Perlis. Pelbagai barang diniagakan di sana samada pakaian, makanan, tanaman mahupun peralatan pinggan mangkuk.
Berehat sebentar sambil menikmati keindahan pemandangan persekitaran yang menakjubkan.Subhanallah |
Pada jam 3.00 petang, perjalanan diteruskan menuju ke Gerik. Jalan yang menghubungkan Sungai Petani- Gerik yang mempunyai banyak selekoh-selekoh tajam membuatkan para peserta lebih berhati-hati dalam mengambil selekoh ditambah keadaan trafik yang penuh dengan lori yang membawa muatan. Alhamdulillah para peserta tiba di Pekan Grik pada jam 7.00 malam.
Bergambar di atas Jambatan Pulau Pinang |
Perjalanan hari ketiga,dijangka merupakan laluan paling mencabar kerana bakal merentasi Banjaran Titiwangsa dari Gerik menuju ke Jeli. Minyak petrol simpanan dibawa sebagai bekalan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini. Sepanjang perjalanan juga peserta perlu lebih berhati-hati sekiranya terjumpa haiwan liar melintas di atas jalanraya. Setelah melalui perjalanan hampir 1 jam, kami terserempak dengan seekor gajah di bahu jalan. Setelah memastikan ianya tidak menggangu kami, dengan perlahan-lahan kami melewati gajah tersebut bagi meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang. Pemandangan yang menarik merentasi Tasik Banding sedikit sebanyak menghilangkan kebosanan sepanjang perjalanan. Tepat jam 12.30 tengahari, kami tiba di pekan Rantau Panjang untuk membeli belah. Kemudian, kami menuju ke Bandar Kota Bharu bagi berkunjung ke Ekspo Makanan di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Di Kota Bharu juga terdapat banyak tempat menarik untuk dilawati seperti Masjid Muhammadiah, Padang Merdeka dan muzium yang berdekatan dengannya. Pada sebelah malamnya, kami bersama-sama dengan masyarakat di sekitar Machang menonton perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan menentang Pahang.
Memeriksa keadaan motorsikal agar sentiasa dalam keadaan baik sebelum perjalanan dimulakan |
Bergambar sebaik sahaja tiba di Rantau Panjang |
Hari keempat, pengembaraan diteruskan lagi menuju ke Kuala Terengganu. Di sana, kami melawat Pasar Payang Kuala Terengganu, Masjid Kristal dan juga Masjid Terapung. Pasar Payang, seperti juga Pasar Siti Khadijah di Kelantan, menjual pelbagai barangan, baik barangan basah, cenderamata, mahupun baju-baju untuk dibeli. Hasil tenunan anak jati Terengganu sendiri seperti kain batik dan kain pelikat juga turut dijual dengan harga yang berpatutan.Soal Penginapan di Kuala Terengganu tidak menjadi masalah. Banyak hotel-hotel dan chalet di sekitarnya dan lebih menarik lagi ia bersebelahan dengan pantai. Para peserta juga tidak terlepas untuk mencuba makanan yang istimewa di negeri Terengganu seperti satar yang dijual dengan harga yang berpatutan. Kemajuan negeri Terengganu dalam bidang industri petroleum dapat dilihat apabila anda melalui sekitar kawasan Paka. Kami meneruskan perjalanan untuk menginap di Kuantan. Para peserta sempat juga untuk berhenti seketika untuk membacakan doa awal dan akhir tahun sempena kedatangan tahun baru hijrah.
Membeli belah di Pasar Payang, Kuala Terengganu |
Di hadapan Masjid Kristal |
Hari kelima, merupakan hari terakhir dan para peserta akan terus pulang ke UTM. Hujan yang turun sejak dari pagi sedikit sebanyak merencatkan perjalanan kami. Namun, hujan itu ialah rahmat dari Allah. Maka perlahan-lahan para peserta meninggalkan bumi Kuantan untuk bertolak ke selatan melalui Pekan-Mersing- Kota Tinggi. Hujan mulai reda apabila kami tiba di Pekan. Setelah mengisi semula minyak, pengembaraan diteruskan untuk berhenti makan tengahari di pekan Mersing. Cuaca yang panas, ditambah perjalanan yang banyak dengan selekoh tajam membuatkan para penunggang perlu lebih fokus. Usai makan tengahari dan solat zohor, perjalanan diteruskan dan peserta selamat tiba jam 6.00 petang.
Pengalaman ini pastinya sangat bermakna untuk peserta. Menyusun strategi, merancang sebaiknya perjalanan dan mempunyai perancangan lain serta perlu cepat dalam membuat keputusan antara nilai yang diperolehi dari pengembaraan ini. Pengembaraan ini juga merupakan satu ujikaji untuk melihat perbezaan antara penunggang dari segi jenis motor, tinggi dan berat penunggang yang turun memberi impak kepada jumlah minyak yang digunakan sepanjang perjalanan. Pengembaraan ini juga menjadi bukti bahawa banyak sekali tempat-tempat menarik untuk dilawati di negara kita. Marilah bersama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 1
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 2
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 3
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 4
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 5
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 1
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 2
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 3
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 4
Kembara Mengelilingi Semenanjung Malaysia Dengan Motorsikal Part 5
hahaha.. takleh belah ayat krew 10 orang yang trpilih hanya 3 orang.. btw nice post!
ReplyDeleteAssalam..bro hotel dh book dulu..n sampai hari malam baru book xpn terjah ke tgl hotel..
ReplyDeletehotel cari masa tu juga. tapi untuk tempat-tempat macam Machang tu, better call dulu.sebab tak banyak. kalau bandar-bandar besar takpa. banyak
ReplyDeleteAssalamualaikum,
ReplyDeleteSaya juga kini dalam perancangan untuk pengembaraan solo bermotosikal mengelilingi semenanjung Malaysia melalui jalan persisiran pantai. Mohon kongsikan jarak perjalanan yang saudara tempuhi sepanjang ekspedisi ini? Sedang melakukan kajian serta mengira jarak perjalanan untuk misi ini. tq
Assalamualaikum,
ReplyDeleteSaya juga kini dalam perancangan untuk pengembaraan solo bermotosikal mengelilingi semenanjung Malaysia melalui jalan persisiran pantai. Mohon kongsikan jarak perjalanan yang saudara tempuhi sepanjang ekspedisi ini? Sedang melakukan kajian serta mengira jarak perjalanan untuk misi ini. tq
lebih kurang 2000 -2300 km. kalau ikut pesisiran pantai, saya rasa mungkin akan lebih jauh jaraknya.
ReplyDeleteapa-apapun, best of luck keris batu merah !