Saturday, June 2, 2012

Cintaku di Mekah dan Madinah











 dengan namaMu kami bertasbih pagi dan petang.
hanya kepadaMu tempat kami berlindung,
dan apa yang kami lakukan, tuliskan, katakan, hanyalah semata-mata mengharap ridhoMu Ya Allah.


Mulakan dengan bismillah,
hamba datang kepadaMu mohon pengaduan..

alhamdulillah, hari ini ( 31 Mei ) genaplah sudah 1 minggu kami kembali ke negara Malaysia.  Minggu ni bagi saya sendiri adalah satu minggu yang penuh dan padat dengan aktiviti, tugasan dan ujian. Seusai tiba di Malaysia, malam tersebut terus bergegas pulang ke kampus. Menyiapkan projek yang sudah terlepas tarikh yang patut dihantar, mengulangkaji pelajaran untuk ujian pada hari isnin (28 Mei) dan banyak lagi. Tetapi kali ini, saya tidak ingin bercerita tentang ini dahulu. Saya ingin berkongsi sedikit coretan mengenai satu kunjungan menjadi tetamu bagiNya. Menjadi tetamu junjungan Mulia, Rasulullah s.a.w. Kembara di Bumi Suci ini akan cuba sama-sama kita susuri semula, semoga rasa rindu itu terus subur ke dalam hati sanubari.

****************************************************

Semester 2 2011/2012 saya mulakan dengan beberapa perkara yang harus diselesaikan. Pendaftaran subjek, urusan pemfailan dan dokumentasi sebagai ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa, alhamdulillah sudah diselesaikan. Namun, siapalah manusia ini jika tidak ditimpa ujian.

" apakah kamu menyangka kamu telah beriman sedangkan kamu tidak diuji"

Masalah hati ditambah dengan beberapa perkara yang dilakukan tidak dengan kerelaan hati sedikit sebanyak merumitkan fikiran. Apakah permasalahan itu ? Cukup Allah tempat saya mengadu. Ketika inilah, kita mula sedar bahawa kebergantungan kepada Allah lah yang paling terbaik. Sungguh hinanya diri ini apabila terlalu bersedih dengan perkara yang tidak sepatutnya ditangisi. Sedangkan satu ketika dahulu, kita sendiri cuba untuk keluar dari atmosfera 'kawasan hitam' tersebut.

Semuanya bermula di bumi bertuah Kuala Lumpur. Saya pulang selepas 2 minggu semester bermula. Pulang dengan niat untuk menghabiskan baucar buku yang telah diberikan kepada semua mahasiswa. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan saudara Zulhilmi di kedai makan bersama-sama dengan sahabat saya dari UTMJB, saudara Azmi. Berbual-bual dan kemudian terdetik di hati saya untuk bertanya mengenai perkembangan bekas kolej kediaman saya di UTMKL, Kolej Kediaman Siswa Semarak.

" Cuti ni tak balik ke ? "
" Tak. Ada program. "
" Program apa ? "
" R2SA."
" oh, jadi program ni. bila nak pergi ?"
" Bulan 4 ni."
" berapa ramai yang pergi ? Ada kosong lagi "
" Dalam sepuluh orang je. Ada lagi."
" Nak ikut , boleh ?"


begitulah serba ringkas perbualan yang mencetuskan niat untuk menyertai program ini. Program ini ideanya muncul di saat-saat akhir tampuk kepimpinan saya di UTMKL. Ia kerana di zaman saya tiada program ke luar negara. Ya, saya sendiri kurang gemar program-program ke luar negara yang kurang input, atau lebih tepat sekadar lawatan biasa. Pergi ke sana, jumpa penduduk tempatan, kemudian pulang.

Selepas membuat keputusan untuk menyertai program ini, saya kembali berfikir. Mengapakah begitu mudah Allah gerakkan hati saya ini untuk berkata ya untuk program ini ? Masakan tidak, saya telah membuat keputusan terhadap banyak hal semasa awal semester ini. Apabila saya ditawarkan untuk mengikuti program khidmat masyarakat di Sarawak, saya terus katakan ya, kemudian untuk program R2SA ini juga, saya terus mengatakan ya.

Alhamdulillah, hasil wang simpanan yang saya kumpul sejak dari zaman kuliah di UTMKL lalu saya gunakan untuk membiayai kos untuk program ini. Malah ditambah dengan kata-kata dari Umi tersayang saya yang memberi izin untuk saya menyertai mana-mana program untuk saya menunaikan umrah. Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang ibu, emak, umi yang cukup baik dan sangat mendokong apa yang saya pilih. Umi memberi banyak kepercayaan untuk saya memilih hala tuju hinggakan satu ketika dahulu apabila saya menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran di United Kingdom pun, umi menyokong dan sanggup untuk mengeluarkan simpanannya untuk menanggung kos yang mencecah RM 100 ribu dengan menjual tanah pusaka yang ada, walaupun saya sedar harga tanah tersebut tidaklah mencapai jumlah tersebut.

*****************************************************


Maka bermulalah episod saya menguruskan dokumen-dokumen yang perlu disediakan untuk diisi. Menyiapkan gambar, passport , mengisi borang ke luar negara dan banyak lagi. Saya juga berkesempatan untuk melihat senarai nama mereka yang terlibat. Rata-rata mereka ialah orang yang saya kenali. Beberapa masalah kecil yang timbul seperti format borang ke luar negara yang tidak sama, kertas kerja yang masih belum dihantar ke Kementerian Luar Negeri dan beberapa lagi dan alhamdulillah berkat kesabaran, doa dan kerja berpasukan, perkara-perkara ini dapat diselesaikan. Ditambah beberapa perkara seperti passport yang dekat dengan tarikh tamat tempoh dan sebagainya, namu ianya berjaya diselesaikan.
Dalam tempoh sebulan urusan ini dilakukan, dan alhamdulillah kami diminta untuk berada di UTMKL pada tanggal 25 April untuk kursus umrah sebelum berlepas pada 27 April.

April, cukup istimewa untuk diri saya. Kerana bulan ini merupakan bulan kelahiran saya jika mengikut perkiraan tahun Masihi. Dan saya bertuah kerana bulan ini juga merupakan bulan kelahiran Rasulullah s.a.w kerana baginda juga lahir pada April, 20 April.

" 20 april tahun gajah, lahirlah zuriat yang saadah.. "

April ini cukup istimewa kerana saya akan bertolak ke Sarawak pada 5 April dan berada di sana hinggalah 16 April. Kemudian, pembubaran Majlis Perwakilan Mahasiswa yang pada awalnya dijangka pada 18 April telah ditunda kepada 25 April. Apabila saya mengetahui bahawa tanggal 25 April juga merupakan tarikh kursus umrah, dengan segera saya memaklumkan kepada pengetua KSS, Encik Noraimi berkenaan Majlis Pembubaran tersebut. Beliau memberi keizinan kepada saya untuk menghadiri majlis pembubaran tersebut.

Namun, janji Allah, rezeki dan aturan Allah itu adalah yang terbaik. Kita merancang, dan Allah juga merancang, namun perancangan Allah itulah yang terbaik.

Majlis pembubaran tersebut diawalkan pada 23 April. Bermakna saya boleh menghadiri kedua-dua program; Majlis pembubaran dan kursus umrah.

****************************************************
 24 April, saya lalui secara biasa. Tiada apa yang istimewa, melainkan di sebelah malamnya. Semua peserta dari UTMJB dikehendaki berkumpul di Scholar's Inn. Setelah selesai makan malam yang agak lewat, saya terus mencapai beg kerana saya mempunyai satu temujanji ringkas bersama rakan-rakan MPM saya.

Perlahan-lahan kaki ini melangkah menuju kafe Pak Lah, yang berada di foyer Scholar's Inn. Saya menemui Akmal, Junaidah dan Ain. Mereka sudah saya anggap sebagai adik beradik saya. Rezeki Allah temukan saya dengan insan-insan seperti mereka ini.

Sepotong Kek Secret Recipe, air coolblog dan Sebuah buku menjadi bekalan dan hadiah untuk saya sempena ulang tahun saya. Allahurabbi, kau rahmatilah mereka ini Ya Allah. Kemudian kaki ini terus melangkah ke tempat berkumpul . Setelah doa dibaca, kami memulakan perjalanan kami. Menyahut panggilan Ilahi, menjadi tetamu Tuhan Di Tanah Suci.

Oleh sebab terlalu letih , saya hanya tidur sepanjang perjalanan. Sesekali terbangun melihat jam dan sekeliling, seingat saya 2 kali van yang kami naiki berhenti.Tepat jam 4.30 pagi, kami tiba Di Kediaman Siswa Jaya (KSJ).  Peserta lelaki ditempat kan di Blok C KSJ sementara peserta perempuan di KSS. Kemudian terus menghubungi Zul untuk mendapatkan kunci bilik, untuk berehat sebentar sementara menunggu Solat Fardhu Subuh.


Jam 8.30 pagi, semua peserta berkumpul untuk sama-sama mengikuti kursus umrah di pejabat agensi pelancongan. Penyampaian yang ceria ditambah loghat utaranya yang pekat sedikit sebanyak menghilangkan rasa letih para peserta khususnya dari UTMJB. Benarlah kata ahli falsafah, bahawa barangsiapa melupai sejarah, pasti akan mengulanginya. Oleh yang demikian, kami diberi taklimat serba sedikit tentang perkara yang perlu dielakkan, dan kelengkapan yang perlu disediakan sebelum berangkat pergi. Kami turut dibekalkan dengan sepasang kain ihram dan beg sumbangan agensi pelancongan yang kami gunakan.


Di sebelah petangnya, kami memenuhi aktiviti masing-masing. Ada yang membeli keperluan-keperluan untuk dibawa dan sebagainya. Saya memilih untuk berada di Perpustakaan Sultanah Zanariah. Secara kebetulan bertemu dengan Khairul Fitri, rakan MPM saya . Sempat berbual-bual dengan beliau sebelum masing-masing membawa haluan sendiri untuk menyelesaikan apa yang patut. Setelah selesai, saya bercadang untuk pulang ke rumah. Namun usaha tersebut dibantutkan dek kerana adanya satu mesyuarat mengenai program pada sebelah malamnya.

Selesai solat maghrib dan makan malam, masing-masing berkumpul di Bilik Mesyuarat KSS. Riak wajah ceria terpapar di semua wajah, mengharapkan agar kesempatan untuk menunaikan ibadah di tanah suci dipermudahkan.


" Petang tadi, saya baru sahaja mendapat panggilan dari pihak travel dan mereka mengatakan bahawa visa kita semua masih belum diperolehi " ujar Encik Noraimi kepada semua.

Terdiam .

Kelu seribu bahasa.

Masing-masing seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dikatakan.

" Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar."

Satu sahaja yang dapat saya ungkapkan " Mungkin ini ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana hamba-hambaNya bersabar dan terus ikhlas ingin menjadi tetamuNya. " Ketika itu jugalah saya berfikir, apakah kejadian ini sebagai salah satu tanda asbab dosa-dosa yang ada pada diri kita  yang menggunung tinggi ? Apakah ini disebabkan kita selalu melupakanNya ? Istighfar diperbanyakkan, moga ada sinar pencerahan dari Tuhan.


Alhamdulillah, segala puji untuk Allah, riak wajah kami kebanyakannya tenang dan menerima dengan ikhlas dan redha. Walaupun ada bebola mata yang sudah mula berkaca-kaca menahan rasa sedih ini, namun hakikatnya masing-masing masih berharap agar adanya keajaiban dari Allah. Kemudian, kami merangka beberapa kemungkinan dan tarikh baru yang mungkin terpaksa kami pilih. Ditambah dengan kekangan waktu serta pembelajaran di UTMJB, mahu atau tidak kami harus pergi, dan lebih awal adalah lebih bagus. Masing-masing turut berfikir terhadap kata-kata yang telah diluahkan baik kepada rakan-rakan mahupun di dalam laman sosial, haruslah dipadam. Tidak timbul rasa segan, kerana penundaan adalah perkara biasa, begitu firasatku.

Keputusan telah dibuat. Kami akan terus menunggu hinggalah mengetahui status terkini. Bila ? Isnin 30 April. Kami akan terus berada di Kuala Lumpur dan sekiranya apa yang dirancang menjadi, kami akan tetap pergi ke tanah suci. Masing-masing pulang ke bilik masing-masing dan berharap, moga-moga ada keajaiban dari Allah Tuhan Yang Maha Menjadikan Sesuatu yang tiada kepada ada.


4 Hari kami terpaksa menunggu. Apa-apapun, kelengkapan sudah sedia. Kain ihram dan sebagainya. Saya begitu optimis dan terus memberi harapan, bahawa kita semua akan pergi jumaat ini. Walaupun seolah-olah memberi harapan kosong, saya tetap dengan pemikiran ini. Tatkala saya melafazkannya, mereka memandang dengan pandangan yang sedikit kecewa tetapi penuh pengharapan.
Keesokan harinya kami berkumpul di Masjid UTMIC bagi mengadakan solat hajat. Memohon agar urusan ini dipermudahkan, dikuatkan hati-hati ini dalam menghadapi ujian ini. Mungkin ini ujian sebelum pergi, sebagai muqadimmah kepada kehidupan di tanah suci kelak.

" Berdoalah, nescaya akan Aku maqbulkan. " begitulah firman Allah di dalam kitab yang wajib kita imani, Al Quran. Rasa rendah diri dan kebergantungan kepada Allah ditingkatkan. Setelah solat, masing-masing dengan urusan masing-masing. Ada yang ke PSZ untuk melayari internet dan sebagainya. Kami berbincang di laman sosial Facebook untuk cuba untuk mengetahui status sebenar. Ada yang mencadangkan supaya menghubungi kedutaan Arab Saudi. Ada yang mencadangkan untuk kita terus ke pejabat kedutaan untuk menceritakan permasalahan ini. Namun, apalah makna pergi jika tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dalam masa yang sama, kami berharap agar pihak agen dapat membantu kami dalam mencari solusi kepada permasalahan ini.


*********************************************************************
Tibalah hari yang dijanjikan. Isnin. Kami berkumpul semula di bilik mesyuarat KSS. Sambil menikmati juadah ringan, sekali lagi saya optimis,

" Beg da siap ? Kita nak 'fly' dah malam ni .."

perbincangan dimulakan. Masing-masing menunggu deringan telefon dari telefon bimbit Encik Noraimi.

" InsyaAllah dalam jam 4 petang ni kita akan tahu statusnya."

Dalam masa yang sama, sedikit pembentangan mengenai jumlah kewangan dilakukan bagi memastikan tidak ada sebarang keraguan terhadap sumber wang tersebut dan alhamdulillah ianya berjalan lancar. Masing-masing tahu dari mana wang diperolehi sehingga mencukupi jumlah yang diperlukan.

Jam sudah menunjukkan 4 petang. Masih lagi tidak ada sebarang berita. Perbincangan diteruskan. Kadangkala suasana menjadi sunyi seketika. Resah menanti sebuah jawapan yang pasti.

Azan asar berkumandang. Kami memutuskan untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Encik Noraimi bersetuju dan sebarang makluman akan diberitahu kemudian. Sejurus selepas solat, terus menuju ke tempat parking motorsikal untuk menuju ke rumah.

Selesai mandi dan bersiap barangan yang perlu andai malam ini kami bertolak, diri ini menuju ke Surau Taman Permata yang kira-kira 20 meter dari rumah. Saya cukup pasti bahawa pastinya di dalam bait-bait doa kami semua adanya diminta agar dipermudahkan urusan.

Sampai di rumah.

Telefon bimbit berbunyi tanda ada SMS diterima.

"Assalamualaikum. dah makan ? Datang SS  boleh ? nak bincang bila tarikh nak pergi ni. " SS merupakan sebuah kawasan arked yang menjadi tumpuan mahasiswa UTMKL kerana harganya yang berpatutan dan sesuai dengan status kewangan sebagai seorang mahasiswa.

Adakah keputusannya sudah diketahui ? Tiada pula menerima panggilan dari Encik Noraimi. Bermonolog sebentar lalu mengajukan pertanyaan samada keputusan sudah diketahui.

" Dah, tadi Encik Noraimi 'call'. "

Allahurabbi. Satu persatu harapan yang dipasakkan punah. Berkecai bak kaca. Alhamdulillah dikurniakan keluarga yang sentiasa mendokong dan selalu memberi saranan. Teringat lagi sewaktu begitu kecewa dengan keputusan peperiksaan, umi banyak memberi nasihat untuk bersabar dan usaha lagi.

Malam itu, kebetulan umi dengan kak lang hendak ke Carrefour. Jadi bolehlah menghantarku terus ke UTMKL. Sampai di Selera Semarak agak lewat, berbincang sambil menikmati makan malam. Kemudian kami meneruskan perbincangan di First Shop Kediaman Siswa Semarak. Sebuah kedai usahawan yang pernah diuruskan oleh Encik Noraimi sewaktu beliau menjadi felo KSS, sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengetua.  Sementara menunggu kehadiran Encik Noraimi, perbincangan mengenai tarikh baru terus hangat dibincangkan.

" Allah.. inginku hentikan langkah ini..
bagaikan tak mampu untukku bertahan..
semangat tenggelam..
lemah daya...
haruskah aku menyerah
namun jiwa..
ku berbisik..
inilah duga..an..."

bait-bait lirik dari lagu UNIC yang dipasang melalui telefon bimbit. Lagu tersebut seolah-olah mesej dari Allah tepat untuk kami. Sangat mendalam dan bermakna. Tiba-tiba kedengaran bunyi motorsikal berhenti di depan kedai.

Encik Noraimi  hadir dan menceritakan kepada kami kronologi yang berlaku bagi memastikan semua peserta tahu akan perkara sebenar. Penjelasan seperti ini amat perlu bagi memastikan tidak timbul salah sangka dalam kalangan peserta. Dalam konteks semasa, amat jarang sekali pendekatan memberi penjelasan seperti ini dilakukan. Masing-masing terus bergelumang dengan persepsi yang negatif hingga sedikit sebanyak merencatkan perhubungan dan ukhuwah yang terbina.

Kami membuat keputusan agar ianya diadakan sebelum minggu terakhir kuliah di UTMJB. Ini adalah kerana bagi saya sendiri terlalu banyak subjek yang belum diadakan ujian kedua, dan sekiranya program ini ditunda dan diadakan semasa minggu tersebut, maka ia sedikit sebanyak menjejaskan persiapan peperiksaan akhir saya. Dan sekiranya ianya diadakan pada Bulan Jun, ia menyukarkan kepada saya kerana melalui latihan industri selama 3 bulan.

Setelah bermusyawarah, kami memutuskan untuk pergi sebaik sahaja proses memohon visa selesai, kerana kami terpaksa melalui prosesnya semula dari kosong. Maka,ianya adalah kira-kira kurang 15 hari dari sekarang. Keputusan telah dibuat, maka pada malam tersebut kami terus bertolak pulang ke UTMJB.

Jumaat minggu berikutnya,tibalah hari yang ditunggu. Van sudah sedia. Kami bertolak dari UTMJB jam 7.00 malam dan tiba agak lewat di UTMIC, kira-kira jam 12.00 tengah malam. Kesesakan jalan raya berlaku selepas keluar dari plaza tol Sungai Besi kerana satu program berlangsung di stadium berdekatan sehingga menyebabkan jalan sesak. Sepanjang perjalanan, Haji Akashah, salah seorang pemandu yang terkenal di UTM berkongsi pengalaman beliau yang sudah menunaikan haji 12 tahun lalu. Secara tidak langsung, kami menerima serba sedikit ilmu bidang pengurusan rumah tangga dari beliau. Sikap beliau yang peramah dan sering menghubungi isterinya menunjukkan indahnya kehidupan rumah tangganya.
" Yang belakang tu nama apa ? Usuluddin?! " tanya Haji Akashah.
pertanyaan dari Haji Akashah disambut dengan gelak tawa dari kami.

Tiba di UTMKL, mata ini terus memandang-mandang mencari kereta Saga Merah. Tiada. Tiba-tiba terpandang akan sebuah teksi betul-betul dihadapan First Shop. Teringat kembali ketika masih menetap di KSS, apabila cuti semester, barang-barang akan dipenuhkan di dalam teksi tersebut untuk dibawa pulang.

Tiada yang lebih gembira, apabila melihat senyum dan riak wajah dari kedua ibu bapa sendiri. Entah, semakin membesar, semakin memahami tanggungjawab sebenar sebagai seorang anak. Semoga diri ini tergolong dalam golongan anak yang soleh. Perjumpaan walaupun sekejap, tetapi cukup bermakna. Sebelum mereka pulang, sempat tangan ini memohon ampun dan maaf dari umi dan ayah serta memohon agar dihalalkan makan minum. Kerana beberapa kali terasa seolah akan pergi selamanya.

Kami bertolak ke LCCT menaiki bas. Perjalanan yang mengambil masa kira -kira 40 minit , dan kami selamat tiba di LCCT jam 2.30 pagi. Troli terus diambil untuk diletakkan barang-barang kami. Jadual penerbangan kami adalah pada jam 6.10 pagi. Pada awalnya kami dijangka akan menunaikan solat subuh di dalam kapal terbang, namun alhamdulillah kami berkesempatan untuk menunaikan solat subuh di surau berdekatan dengan balai berlepas.

Menaiki pesawat Air Asia, kami akan menuju ke Colombo, Sri Lanka sebelum menaiki pesawat Saudi Arabia Airlines ke Jeddah. Perjalanan ke Colombo mengambil masa sekitar 2jam 30 minit, namun apabila kami tiba di Colombo, waktu tempatan ialah 7.30 pagi. Di sana sementara menunggu penerbangan kelas pertama yang dijadual berlepas jam 12.50 tengahari, kami pergi ke kaunter bagasi kerana pihak lapangan terbang tidak dapat menguruskan bagasi kami secara terus ke kapal terbang Saudi Arabia Airlines. Oleh yang demikian, kami dikehendaki mengambil barang-barang kami dan kemudian mendaftar semula.

Alhamdulillah, Encik Noraimi yang mempunyai banyak pengalaman dalam urusan mengenai penerbangan ini banyak membantu. Sementara menunggu waktu berlepas, kami berehat sebentar di ruang rehat yang disediakan khas untuk penumpang kelas pertama. Ditambah lagi dengan perut yang kosong, maka segala makanan yang ada di ruang tersebut menjadi santapan kami.

" FLIGHT SV 789    JEDDAH    11.55 AM    NOW "


Beberapa kali kami bertanyakan kepada staf di ruang tersebut mengenai masa yang sebenar. Dan setiap kali kami tanyakan, maka setiap jawapan yang diberikan ialah penerbangan kami dijangka akan berlepas lewat. Setelah selesai menunaikan solat jama' zohor dan asar, kami bergegas ke balai pelepasan . Memandangkan kami memegang tiket "business class", maka layanan yang diberikan sejak dari awal memang terbaik.

Inilah buat pertama kalinya saya menaiki pesawat dari syarikat penerbangan selain Air Asia. Ruang yang lebih besar, kerusi ala-ala kerusi urut ogawa, di tambah adanya skrin pada tempat duduk masing-masing. Belum pernah merasai layanan dan fasiliti seindah ini. Ya lah, biasanya naik kelas ekonomi sahaja.

Namun, perkara yang lebih menarik minat saya adalah sebelum pesawat melakukan ' take-off '  , bacaan doa menaiki kenderaan dipasang. Bagaimana mereka membudayakan dan memuliakan junjungan besar Rasulullah s.a.w. Jika sebelum ini kita hanya melihat mereka memuliakan junjungan mulia di dalam filem Ayat-Ayat Cinta, maka kini ianya berlaku depan mata. Indahnya.

Menjadi kebiasaan, tidur dalam kapal terbang. Nak kata letih, tak juga. Tapi sebelum tidur, kami dijamu dengan teh arabica. Memang pekat. Nak kata sedap, pun tidak. manis pun tidak. Telan sahajalah.

Baru tidur sekejap, saya dikejutkan untuk makan. tidur lagi, makan lagi.  Makanan yang disediakan, alhamdulillah boleh untuk dimakan. Walaupun agak pelik, tapi cubalah. bila lagi nak merasa makanan dan layanan di dalam pesawat atas tiket " business class." Malah ianya diperoleh di dalam perjalanan menuju ke tanah suci. Satu sahaja yang berlegar-legar di benak pemikiran. Mungkin Allah bagi nikmat ni pada awal program, supaya nanti kita bersedia dengan  lebih kuat apabila diuji di sana nanti.

Saya sendiri tak sedar berapa jam kami berada di dalam pesawat. Disebabkan tidak dapat tidur, maka segala rancangan yang disediakan di tonton. Dari sukan hinggalah ke rancangan komedi. Sehinggalah kami tiba di Riyadh. Disebabkan tidak dapat tidur di dalam perjalanan yang panjang, maka saya mencuri kesempatan untuk tidur semasa perjalanan dari Riyadh ke Jeddah. Perjalanan yang mengambil masa kurang lebih 1jam 30 minit.

Sekali lagi saya dikejutkan oleh pramugari untuk makan. Kali ini, siap dibukakan meja lagi. Ditanya pula untuk memilih menu makanan, dengan mamai-mamai saya yang menggangguk-angguk dan terus memilih makanan yang ada tanpa mengetahui pilihan yang ada.


Kami tiba di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz jam 5.30 petang waktu tempatan. Kami mendapat maklumat di sana terdapat 3 'runaway', oleh yang demikian kami dikehendaki menaiki bas menuju ke lapangan terbang utama. Bas ala-ala Rapid KL. Kemudian, kami menuju ke kaunter imigresen. Walaupun banyak kaunter yang dibuka, tetap ramai. Kami mengambil masa hampir 2 jam menunggu setiap seorang dari kami melepasi pemeriksaan imigresen. Di sana juga kami dapat lihat, bukan sahaja kami yang menunaikan umrah, malah ramai lagi insan lain seluruh dunia turut bersama-sama kami.



Malam tersebut kami menaiki bas menuju ke Kota Suci Madinah. Dek kerana kelelahan, maka di dalam perjalanan yang mengambil masa 6- 7 jam inilah kami berehat.

*********************************************************************

Keadaan geografi di sini yang kebanyakannya rata membuatkan saya tidur dalam bas dengan keadaan yang lebih nyenyak. Jika hendak dibandingkan perjalanan dari Kuching ke Sibu tempoh hari di mana kami seolah-olah menaiki "roller coaster", namun ianya berbeza di sini.

bas berhenti seketika.

Seperti melalui sebuah "check-point".

Apakah kami sudah memasuki tanah haram Madinahmu ?


"law kana bainana habib..."


sayu. terasa terlalu banyak salah dan silap sehingga tidak merasa layak berada di kota suci ini. Di dalam perjalanan , di tengah kelam malam yang sudah mula memasuki awal pagi, cuba mencari-cari di manakah letaknya Bukit Uhud.

Yang inikah...bukan..

Yang ni..macam nampak kemerahannya. Ustaz pernah cakap, kalau nak tengok bukit uhud dari dalam kapal terbang, cari yang warna macam merah-merah sikit.

Melihat pohon-pohon tamar di sekeliling, di tambah nama-nama jalan yang menggunakan nama-nama pejuang dan pemimpin Islam, menambahkan lagi rasa sayu.

Tiba-tiba terpandang kearah satu cahaya dari jauh. Putih.
Adakah itu masjid Nabawi ?
Selawat dan salam ke atas junjungan Mulia.
Allahurabbi.
Allah.

Kini cahaya itu boleh kelihatan di sebelah kanan. Memandangkan banyak tempat duduk yang kosong, maka tidak menjadi masalah untuk saya bertukar-tukar tempat duduk.

Orang ramai sudah mula bergerak menuju ke sana. Dari dalam bas hanyalah menara masjid sahaja yang dapat dilihat.

Kini pandangan dihalang dek bangunan yang mengelilinginya.  Hanya mampu melihat di celah-celah bangunan sahaja Masjid Nabawi.

Allahumma solli ala Muhamamad


Ya Rasulullah Ya Habiballah,
tak pernah ku tatap wajahmu..
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu..

Perasaan rindu, rasa bersalah kian mencengkam hati. Rasa segan , di saat umur sudahpun melepasi usia saat Sultan Muhammad Al Fateh menawan Kota Konstantinopel, diri ini masih kurang manfaat pada Islam sendiri.

Doa memasuki kota Madinah dibaca.
" Ya Allah, negeri ini adalah tanah haram RasulMu, dan telah engkau haramkan ia di atas lisan Baginda s.a.w, maka jadikanlah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari seksa dan buruk perhitungan di hari kemudian "

Berulang kali dibaca. Sambil menghayati dan bermuhasabah diri.
Berapa banyak sunnah Nabimu yang telah ditinggalkan ?
Kau kata kau rindu, tapi sunnah Rasulmu kau pandang enteng..

Allah..ampuni kami Ya Allah.

Bas berhenti. Kami semua turun dari bas dan mengambil barang masing-masing untuk diletakkan di dalam bilik masing-masing.
" Moga-moga sempat kami untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi " bisik hati mengharap diberi kesempatan.

Subuh masuk dalam jam 4.15 pagi.  Jam kini menunjukkan 4.40 pagi. Melepas peluang. Tapi itu tak bermakna kami tidak pergi ke Masjid Nabawi. Kami terus melangkah menuju masjid nabawi dan perjalanan hanya mengambil masa sekitar 6 - 7 minit sahaja.


*********************************************************************

Hari ini jam 8 kami dijadualkan akan melakukan ziarah ke sekitar Madinah. Antara tempat yang bakal dilawati ialah Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Bukit Uhud dan Ladang Kurma. Masjid Quba' ialah masjid yang pertama di bina oleh Nabi. Sementara Masjid Qiblatain ialah masjid yang menjadi saksi perubahan Qiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Di sana masih lagi terdapat tanda yang menunjukkan tanda perubahan tersebut.
pemandangan dari atas bukit pasukan memanah Perang Uhud. Di sebelah kiri itulah bukit Uhud

Cuaca yang panas yang mencecah 35-40 darjah celsius sedikit sebanyak membuatkan kami perlu kerap minum air bagi menggantikan air yang hilang. Jika hendak dibandingkan dengan cuaca panas di Gurun, Kedah sewaktu mengikuti program berbasikal Trans 1 Malaysia, panas di sini lain dengan cuaca panas di Malaysia.

 Di Bukit Uhud, kami menziarahi kubur Saidina Hamzah, bapa saudara Nabi yang syahid semasa Perang Uhud. Ustaz Munir, mutawwif yang dilantik oleh pihak agensi menyampaikan sedikit info dan sejarah berkenaan Perang Uhud. Terfikir juga bagaimanakah suasana perang Uhud ketika berlaku. Masa yang diberikan agak singkat, maka hasrat untuk menakluk bukit di mana tempat pasukan memanah yang ditugaskan oleh Rasulullah turun untuk mengambil ghanimah seakan samar.

" dah sampai, bila lagi. Jom " sahutku kepada Zulfadzli, salah seorang peserta . Kami terus melangkah. Turut mengikuti kami ialah Jannah, Azyan dan Syazwani. Alhamdulillah Allah mudahkan kami untuk menjejakkan kaki. Keadaan bukit tersebut yang mempunyai permukaan fizikal yang agak tajam pada sifat permukaannya, memberi kami andaian bahawa memang sukar untuk naik , turun dan kemudian naik semula ke atas.

Tak lengkap jika setiap tempat persinggahan itu tidak ada jurujual. Namun, satu peristiwa yang agak lucu berlaku  sebelum kami bergerak pulang menaiki bas. Seorang pemuda,  dalam lingkngan 30-an cuba untuk memberi kami air mineral. Disebabkan tidak memahami bahasa arab, kami sangkakan beliau sedang menjual air kepada kami.

Di dalam bas, Ustaz Shahrizal naik sambil memegang air mineral.

" Awat hang pa tak ambik tadi orang bagi air 'free'..."

Bagaikan satu ketukan hinggap dari belakang. Jelas, memahami sesuatu yang cuba disampaikan secara benar itu adalah kunci terbaik untuk mengelak dan menjauhi buruk dan salah sangka.

********************************************************************

Kami pulang jam 12 tengahari. 20 minit lagi azan Zohor akan berkumandang. Jika tadi di waktu Subuh kami hanya solat di bahagian yang agak jauh dari ruang asal Masjid Nabawi. Kali ini saya cuba untuk pergi lebih ke dalam lagi. Di tengah-tengah , terdapat satu ruang terbuka. Persis seperti keadaan di perkarangan luar Masjid Nabawi. Mempunyai payung besar yang dibuka tatkala hari siang.

Sesudah solat, mata ini terpandang ke hadapan. Seperti ada satu penghadang dipasang. Banyak persoalan timbul di benak hati lantas bangun dan terus ke hadapan. Menyusuri penghadang tersebut. Ramainya orang, walaupun hanya solat Zohor. Mungkin inilah tanda berkahnya tanah suci. Diri ini hanya mengikut sahaja pergerakan segerombolan jemaah yang turut berada di hadapan.

Mereka bergerak ke hadapan. Saya kehadapan. Kelihatan seperti memasuki kawasan yang lain dari yang lain. Melangkah lagi kehadapan. Rasanya seperti sudah berada beberapa saf dari saf paling hadapan. Mungkinkah ini Raudhah ?

Lihat ke kiri. Ada begitu ramai sekali jemaah cuba untuk memasuki sebuah kawasan yang dikawal rapi oleh pasukan keselamatan. Terus bergerak ke sana. Dalam langkah yang laju sempat juga melihat ke sebelah kanan. Mungkin ini mihrab lama Nabi.

Kini saya sudah berada bersama dengan pasukan di depan sekali. Mungkin inilah kawasan raudhah. Mimbar untuk solat jumaat, tempat muazzin, adanya mihrab dan tepat di hujung sekali seakan-akan pandangan luar makam Rasulullah s.a.w. Sayu menyelubungi hati.

Penghadang dibuka. Dek kerana berada di antara orang ramai, maka semua berebut-berebut untuk memasuki kawasan tersebut. Berdoa, solat sunat dilakukan oleh mereka yang berada di dalam kawasan tersebut. Sesiapa yang lama, akan diminta keluar bagi memberi peluang kepada orang lain untuk berada di dalam kawasan tersebut.

Diri ini semakin yakin inilah kawasan Raudhah. tempat dimana menjadi salah satu tempat doa mustajab. Ruginya jika sudah memasuki kawasan raudhah, namun tiada apa yang dihajati dan dipohon. Masa untuk mendekatkan diri kepada Allah.

**************************************************************

Perlahan-lahan keluar dari kawasan Raudhah. Allah, nikmat tuhan yang manakah yang kamu dustakan . Tatkala hambaMu datang menuju panggilanMu, Engkau bukakan pintu rahmatMu walaupun di hati kami, tangan dan seluruh anggota kami berlumuran dengan dosa.

Allah tuhan kami, maka ampunilah kami ya Allah.

Perlahan-lahan menyusuri perjalanan keluar dari ruang asal masjid Nabawi. Setelah mengucapkan salam kepada junjungan mulia Rasulullah s.a.w , Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar , selangkah demi selangkah keluar dari kawasan Masjid Nabawi. Seakan tidak percaya , namun terus diganti dengan rasa syukur. Pulang semula ke hotel untuk makan tengahari dan berehat seketika.

*******************************************************************

Faktor persekitaran, di kelilingi oleh manusia yang mengharapkan rahmat dan keampunan dari Allah  menghidupkan jiwa-jiwa yang lemah ini untuk sama-sama mengejar pahala di Masjid Nabawi. Ada yang sanggup datang awal untuk mengejar pahala tersebut. Ada yang dari sebelum Subuh hinggalah ke Isyak berada di sana untuk beribadah. Peluang tidak selalunya datang, maka apabila ia hadir manfaatkanlah.

Kedamaian di sebalik kepanasan yang melanda. Dan bibir kering menjadi sindrom kebiasaan bagi semua orang apabila berada di sini. Cuma satu sahaja peringatan; mungkin ini ujian Allah.

Ahad malam isnin, sesudah isyak, kami di bawa ke sebuah restoran. alhamdulillah berpeluang merasa sendiri nasi arab bersama daging unta. Kami bertemu dengan warga Malaysia yang berada di sana. Seronok rasanya, paling tidak masih mampu bertutur dalam bahasa ibunda. Walaupun pada hakikatnya setiap penjual memahami bahasa melayu. Mungkin kerana ramai jemaah haji dan umrah dari Malaysia, Brunei dan Indonesia yang silih berganti mengunjungi tanah suci. Kami juga sempat mencuba sebuah makanan ala-ala karamel yang cukup lazat. Selain dari air gas yang seolah-olah menjadi minuman harian masyarakat di sini, kami juga turut membeli air susu untuk diminum. Kalah Susu Dutch Lady yang terkenal di Malaysia.

Hari ketiga kami di Madinah, kami berhajat untuk berpuasa sunat isnin di tanah suci. " nak pergi masa bulan ramadhan, tak sempat. Bila lagi nak puasa kat sini kalau tak waktu ni " ujarku kepada yang lain. Pertama kali berpuasa di tanah suci dan dengan keadaan cuaca yang amat panas. Alhamdulillah Allah izinkan dan ibadah lain berjalan seperti biasa. Hari ini juga kami berkesempatan bertemu dengan pelajar Malaysia yang berada di Madinah. Alhamdulillah sekitar 180 orang pelajar Malaysia berada di sini. Kami bertemu dengan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pelajar Malaysia Madinah. Sempat berbual dan menanyakan tentang sistem kemasukan dan norma kehidupan di sini. Sedikit sebanyak ia menjadi panduan untuk kami dalam menyelusuri 1 minggu lagi di tanah suci ini.

Petang itu, kami beramai-ramai berkumpul untuk berbuka di perkarangan luar Masjid Nabawi. Mungkin kenangan itu tidak sempat kami rakamkan dengan lensa kamera, namun semua ia terakam di dalam kitab amalan kami semua.Amin. Setelah berbuka dengan roti arab yang dibeli oleh Encik Noraimi dan Ustaz Shahrizal, kami menunaikan solat maghrib terlebih dahulu sebelum kembali menghabiskan makanan yang ada. Alhamdulillah, berkah makan secara berjemaah, makanan yang sedikit terasa banyak.

Tiba-tiba datang seorang muslimat.

Sekali lagi, disebabkan tidak memahami bahasa arab, kami terdiam.

Mujur ada Ahmad, yang berasal dari Malaysia bertutur dengan beliau. Beliau menginginkan sedikit susu untuk diberi kepada anaknya mungkin.
 Kemudian berjumpa Ikhwan. Ikhwan sangat peramah saat kali pertama kami semua bertemu dengannya. Kanak-kanak yang baru berusia sekitar awal belasan tahun  yang dalam proses menghafaz Al Quran. Kelancarannya dalam bertutur dalam bahasa Arab membuat kami iri hati. Malam itu juga selepas Isyak Ikhwan mengajak untuk bertemu dengan Sheikh yang mengajarnya hafazan di Masjid Nabawi. Kelas Al Quran yang dijalankan di sini cukup ketat. Jika tidak hadir ke kelas 3 kali, dikira dibuang dari kelas.  Selepas asar, bermulalah kelas mereka. InsyaAllah, jika sudah berumah tangga nanti, jika tidak semua anak-anak menjadi tahfiz, biarlah ada seorang yang akan bergelar hafiz.

Malam itu, kami berjalan-jalan di sekitar Masjid untuk melihat gerai-gerai yang ada. Kami memasuki sebuah pusat membeli belah. Bagaikan tidak percaya, berdekatan dengan Masjid Nabawi turut punya pusat membeli belah. Memandangkan ini malam terakhir kami di sini, sempatlah juga di antara kami membeli buah tangan untuk dibawa pulang hatta berupa pakaian mahupun peralatan lain. Pada awalnya kami ingin pergi ke restoran tempat di mana kami bertemu dengan Ahmad, namun disebabkan jam seakan sudah lewat, makanan hanya dibungkus sahaja oleh Afnan, yang fasih bertutur dalam bahasa arab. Beliau merupakan orang penting yang menguruskan pengangkutan kami dari lapangan terbang Raja Abdul Aziz ke Madinah.


Keesokan paginya, kami sekali lagi cuba untuk memasuki kawasan raudhah dan melakukan ziarah wida'. Alhamdulillah Allah permudahkan, cuma kali ini ditemani Ustaz Munir, dan beliau sedikit sebanyak menceritakan tentang sejarah masjid Nabawi, kawasan asal Masjid Nabawi, mimbar dan sebagainya.

Hati mana yang tak sedih dan sebak apabila ingin berpisah dengan seseorang yang sangat dirindui.

Alangkah indahnya hidup ini
andai dapat ku kucup tanganmu
moga mengalir keberkatan dalam hidupku
untuk mengikut jejak langkahmu

Perasaan yang sukar untuk digambarkan. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui isi hati.

Ya Allah, berilah selawat kepada Nabi Muhammad beserta ahli keluarganya dan janganlah menjadikan kunjungan ini penghabisan bagiku dengan nabiMu..
janganlah menjadikan kunjungan ini penghabisan bagiku dengan nabiMu..
janganlah menjadikan kunjungan ini penghabisan bagiku dengan nabiMu..


Allah, kami merindui Nabimu..
walaupun tak bersua namun tetap kami rasakan hasil usaha nabimu menyebarkan agamamu..

Di dalam sujud cinta terus bertasbih.
mengharap tergolong di dalam ummatmu
yang mendapat syafaat darimu Muhamad s.a.w


**********************************************************************
Petang itu selepas Zohor, kami bertolak ke Mekah. Dengan mengenakan kain ihram, kami mengunjungi Masjid di Bir Ali untuk berniat miqat di sana. Pertama kali mengenakan kain ihram secara sebenar, jika dahulu di MRSM sewaktu amali haji, langsung tidak ada 'jiwa' melakukannya. Kali ini,ianya berlaku secara sebenar.

Solat sunat ihram ditunaikan, sebelum menyambung kembali perjalanan menuju ke Mekah, yang mengambil masa kira-kira 6-7 jam. Buku panduan yang dititipkan umi sebelum bertolak dibuka.

" Sahaja aku berniat mengerjakan umrah dan berihram kerana Allah Taala "

Pantang larang dalam ihram tidaklah begitu banyak. Selain dari memakai pakaian yang tidak berjahit,menggunakan selipar yang terbuka di hadapan, tidak mencabut sebarang bulu dari badan dan sebagainya. Namun, tidak salah untuk bertanya andai tidak tahu.

Di dalam ihram, boleh makan,minum , solat dan sebagainya. Sekitar lagi 200 kilometer lagi perjalanan, kami singgah di sebuah kedai seperti RNR jika di Malaysia. Menikmati teh panas sambil ditemani tiupan angin yang kuat. Cukup menyeronokkan. Di tambah dapat melihat terbenamnya matahari di tengah padang pasir yang dipenuhi dengan bukit bukau.

********************************************************************

Bas berhenti. Dah sampai Mekah ? Perkataan pertama yang bermain di fikiran sebaik sahaja terjaga. Alhamdulillah, bumi barakah Mekah dapat juga kami jejaki. Ibadah umrah yang pertama akan kami jalankan sebaik sahaja selesai meletakkan barang dan makan malam.

Jarak di antara hotel dan Masjid yang tidaklah begitu jauh memudahkan urusan kami.
Talbiah diperbanyakkan.
"HambaMu datang menyahut panggilanMu
HambaMu datang menyahut panggilanMu
Sesungguhnya
Segala pujian dan nikmat
adalah milikMu

Di dalam perjalanan, terpandang Makkah Watch, sebuah bangunan pencakar langit. Alhamdulillah, siapa kata Islam tidak boleh ? Inilah buktinya. Sungguh kreatif , beruntunglah jurutera dan arkitek yang mengilhamkan rekabentuk ini.

Kami masuk melalui pintu Marwah. Perlahan-lahan melangkah. Mata meliar mencari-cari dimanakah Kaabah yang sering aku lihat di kala ku bersujud. Sering dilihat di dalam televisyen.

Semakin hampir.


Allahuakbar..Allahuakbar. Kaabah tersergam indah di hadapanku. Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan urusan kami ke tanah haramMu. Kami memulakan ibadah umrah kami dengan tawaf. Di tengah pelusuk ramai orang yang turut sama menunaikan ibadah tawaf. Ada yang tawaf sunat, ada yang solat, ada yang berdoa dengan penuh harap, masing-masing dengan hajat masing-masing. Setelah beristilam ke arah Hajarul aswad, langkah kaki dimulakan dengan bacaan doa.

Dari ibadah tawaf, kami teruskan ke ibadah saie sehinggalah bertahalul. Kami belajar dari apa yang kami lalukan. Beberapa pengubahsuaian dilakukan , dengan ruang untuk ke telaga zamzam ditutup, mungkin untuk memberi ruang lebih banyak untuk melakukan tawaf dan sebagai persediaan untuk musim haji.
Kami selesai mengadakan ibadah umrah kami sekitar jam 2 pagi.

Kami memutuskan untuk terus berada di Masjidilharam sehinggalah waktu subuh. Di masa inilah saya cuba untuk pergi ke kawasan Hijr Ismail, Makam Nabi Ibrahim dan ke Hajarul Aswad. Alhamdulillah Allah permudahkan. Untuk pemuda-pemuda, rebutlah peluang untuk menunaikan haji atau umrah di usia yang muda, tatkala bertenaga. Kerana mungkin umrah tidak menjadi masalah, namun untuk haji, di saat lautan manusia berada di Masjidil haram, ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan andai tidak bertenaga.

******************************

Makkah Al-mukarramah. Bumi yang penuh barakah. Di sini kami dapat lihat sendiri para peniaga yang mengutamakan urusan Solat. 15 minit sebelum azan, kedai sudah ditutup. Para peniaga di sini juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu, jadi tidaklah menjadi masalah untuk kami membeli barang-barang.

Pada sebelah petangnya, kami bercadang untuk menunaikan umrah untuk kali kedua. Kali ini berniat ihram di Masjid Tan'eem, atau lebih dikenali dengan Masjid A'ishah, kerana A'ishah berniat ihram di sini.

Begitulah rutin harian kami. solat berjemaah di Masjidil haram, dan jika ada kesempatan akan memperbanyakkan amalan sunat di sana. apalah lagi yang diharapkan selain mengharap redha Allah , magfirah Allah. Meminum air zamzam bagaikan satu kemestian.

Di sini juga kami sempat bertemu dengan mahasiswa Malaysia yang belajar di Ummul Qura. Ummul Qura mengingatkan kepada sebuah kisah; pernah ditawarkan untuk menjadi mahram seseorang. Allah, saat itu kaget; apakah layak untuk ke sini.

Dan menjadi kebiasaan, mahasiswa yang berada di sini sudah berkahwin. Kedua-dua pemuda yang kami temui ini sudahpun berkahwin.

" Sekarang umur berapa ?

" 20, 22 macam tu.." jawab salah seorang dari kami.

" Kami 21 22 dah kahwin dah dulu.."

Mulalah masing-masing tersenyum tersipu-sipu. Perbincangan tentang perkara lain turut dibincangkan, antaranya bagaimana ingin memohon untuk belajar di sini dan sebagainya. Namun, di keterbatasan waktu, perjumpaan terpaksa dihentikan kerana mereka mempunyai urusan lain. Semoga Allah merahmati mereka untuk terus belajar hingga berjaya, hingga menjadi aset untuk  Islam dan Malaysia.

Di Mekah juga kami berkesempatan untuk berpuasa sunat khamis. Kali ini lebih mencabar, kerana turut melakukan umrah pada siang hari. Setelah berniat ihram di Tan'eem, kami terus bergerak menuju ke Masjidilharam. Mungkin kerana faktor cuaca yang panas, tidak banyak perbualan berlaku di dalam perjalanan. Kami tiba di Masjidilharam jam 11.30 pagi, kira-kira 45 minit sebelum masuk waktu zohor. Ibadah tawaf dilakukan di tengah-tengah panas, dan dapat dirasakan seolah-olah matahari begitu dekat dengan kita. Faktor persekitaranlah yang memberi semangat. Jika mereka yang berkerusi roda, yang buta pun boleh lakukan , mengapa kami tidak. Langkah diteruskan hinggalah selesai. Kami menyambung ibadah saie selepas solat zohor.

Masing-masing terasa bahang panasnya. Dan kami mula terpecah. Ada yang saie di bahagian bawah, ada yang di atas, ada yang di bahagian bawah sekali. Bagi kami yang melakukannya di bahagian atas, memang mencabar. Ditambah hanya beberapa orang sahaja yang membeli simkad untuk digunakan di sini.

Apabila selesai mengerjakan saie, terasa puas amat. Allah izinkan kami melakukan dua hal yang besar pada hari yang sama. Nikmat , kelazatan beribadah denganMu di tanah haramMu, di dalam rumahMu cukup indah. Nikmat yang cukup besar bagi kami, setelah islam dan iman. Kami berbuka puasa di perkarangan luar Masjidilharam, berdekatan dengan Maulid Nabi, tempat di mana Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan. Kini ia dijadikan perpustakaan.

Semoga Allah murahkan rezeki Encik Noraimi dan Ustaz Shahrizal, yang tidak lokek berbelanja untuk kami. Malam jumaat, lebih ramai jemaah yang mengerjakan umrah. Terlalu ramai.Di tambah musim cuti sekolah bermula, maka keadaan di Masjidil haram seolah-olah musim haji bakal bermula tidak lama lagi.

Sabtu pagi, kami dibawa melawat beberapa kawasan seperti Jabal Rahmah, Mina, Kaki bukit Thur dan berniat ihram di Jakraanah, lokasi di mana Rasulullah s.a.w berniat ihram. Hasrat kami untuk melawat Gua Hira' terbantut kerana kekangan masa. Namun, kami sempat singgah di Jabal Rahmah, tempat di mana Nabi Adam dan Hawa ditemukan.
Tempat yang dinanti bagi pencinta-pencintaMu. Yang mengharap rahmat dariMu. Di tempat ini, berdoalah moga diberikan pasangan yang terbaik dan sesuai dengan masing-masing. Siapa tahu, rezeki masing-masing. Di puncak bukit, ada satu kawasan seakan platform.

Kaki ini melangkah naik ke platform tersebut. Duduk dan merenung kelemahan diri lalu memanjatkan doa.

Ku kirimkan hati ini
untuk dibalut kembali dengan benang sutera dariMu
Untuk dicantum kembali hati-hati ini
untuk terus kuat meraih cintaMu
Untuk tidak tunduk lagi kepada permainan yang tak pasti
Allah..
Cepat atau lambat..
Semuanya terletak ditanganMu
Seperti apa yang tercatat
di Luh Mahfuz
Semoga kami lebih banyak bersabar
Kuat mujahadah
Bersabar menanti cinta dan kasih
kerana rahsia itu hanya Kau yang tahu

Dalam bab jodoh pertemuan ini , terdapat satu perkara yang amat saya risau. istidraj, iaitu golongan yang dalam bahasa mudahnya Allah biarkan mereka dengan apa yang mereka lakukan, iaitu mereka tetap memperoleh nikmat walaupun melakukan kemungkaran.

Ya Allah, jauhkan kami dari tergolong dalam golongan ini. Nauzubillah. Barangkali kita merasakan ya itulah jodoh kita, tapi sebenarnya tidak. Namun,apa yang boleh dilakukan selain memohon petunjuk dan doa dari Allah. Langkah yang perlu dilakukan sekarang, mengatur pelan dan menguatkan doa. Langkah lain, banyakkan berpuasa, kerana puasa itu menundukkan nafsu.

" Dia kot..."

" bukan..dia kot.."

" ahh, serahkan saja pada Sang Pencipta. "

Perbanyakkan istikharah, moga kekuatan itu hadir pada saat yang tepat. Pulang sahaja dari Jabal Rahmah, ramai pula terserempak dengan orang-orang Malaysia yang turut mengerjakan umrah di sana. Mungkin Allah nak tunjuk, jangan terlalu kecewa, tetapi luaskan mata hati. "InsyaAllah ada rezeki, kena pada masa, adalah."

Segalanya berjalan lancar, sehinggalah ke tawaf wida'. Seperti mana perasaan sedih meninggalkan Masjid Nabawi, begitu jugalah perasaan ini tatkala melakukannya. Allah memberi nikmat yang cukup besar, walaupun kita melakukan dosa, Allah Maha pengampun.

Ya Allah, rumah ini rumahMu
Engkau telah membawaku dalam hal yang Engkau sendiri mudahkan untukku
sehingga Engkau jalankan aku di negeriMu ini
Jika redha padaku maka tambahkanlah KeredhaanMu kepadaku
Jika tidak mak dari sekarang
sebelum aku jauh dari rumahMu


Sekarang sudah waktunya aku hendak pulang
Ya Allah bekalilah aku dengan afiat pada tubuhku
tetap menjaga agamaku
baikkanlah kepulangku
berilah aku taat setia kepadaMu tanpa berbelah bagi




Ya Allah
Janganlah engkau jadikan masaku ini masa terakhir bagiku dengan rumahMu


Ya Allah,
janganlah ya Allah..engkau jadikan saat ini saat terakhir aku berada di rumahMu


Namun,
jika ini yang terakhir,
maka gantikanlah ia dengan syurga untukku dengan rahmatMu..


Bukan senang untuk pergi, dan bukan senang untuk pulang.
Kami hampir-hampir terlepas pesawat dek kerana masalah birokrasi, namun ianya dapat diselesaikan. Harapan, semoga amal ibadat kami diterima dan aura melakukan amal jariah dan beribadah itu terus mekar di bumi Malaysia pula.InsyaAllah.


*******************************************************************

Harapan kami, moga kami diberi peluang lagi ke sana. Kali ini bukan sendirian, tetapi bersama keluarga.isteri mungkin.   Kami merindui berada dekat denganMu, Ya Rabb.


** kisah ini diadaptasi dari pengalaman sepanjang mengikuti program Road to Saudi Arabia 2012 bersama JKM Kediaman Siswa Semarak UTMKL.Perkongsian ini hanyalah sebagai satu panduan untuk mereka yang lain yang belum berkunjung ke Tanah Haram, untuk menanamkan azam untuk ke sini. Jauh sama sekali niat untuk menunjuk-nunjuk ataupun yang sama waktu dengannya.

 Terima kasih untuk semua pihak yang membantu menaja,meminjamkan barang, menguruskan, mendoakan dan sebagainya. Moga ia dikira sebagai pahala besar yang membawa anda mencapai jannatul firdaus. Amin.

terima kasih kepada jurufoto-jurufoto.maaf kalau terambil gambar untuk dimuatkan.



5 comments:

  1. Subhanallah..
    Wah teringinya nak ke sana..
    Rezeki afdhal dapat jad tetamu Allah..
    dah mula menyimpan sikit untuk ke sana.. entah bila dapat ke sana..
    :)


    p/s guna kamera masa AD tu ke utk snap gamabar tu? tak kena rampas ke? Abah haritu polis rampas masa bwk kamera.

    ReplyDelete
  2. kamera hp je. ad jgak gne kamera biasa.ad taim polis cek, ad taim x.

    ReplyDelete
  3. tahniah afdal..diizinkan menjadi tetamu allah saat anak muda kita masih ramai lalai dengan duniawi...tahniah atas penulisan yang bagi saya berkesan...buat saya rasa nak pegi tanah haram sekarang juga...

    ReplyDelete
  4. as'salam.. alhamdullillah.. rezeki afdal.. harapan tu satu kekuatan dalam jiwa.. skali mengharap, kalau dah musnah, dan datang harapan baru, ia lagi menguatkan jiwa.. ><

    ReplyDelete
  5. Catatan saudara mengingatkan kembali kepada saya kenangan menunaikan umrah dan haji pada tahun lepas. sungguh rindu pada bumi Haramain menggamit diri. bagaikan setiap saat ingin berada di sana. Mudah-mudahan muda mudi seperti kita terbuka hatinya untuk ke sana..mendambakan diri pada Allah Rabbul Izzati.

    ReplyDelete