Sunday, August 17, 2014

Bergerak dan terus Melangkah




Ilmu ada di mana-mana. Kadangkala alam dunia itu jugalah dewan kuliah kita.
Kita belajar mengasihani makhluk lain apabila melihat mereka kesusahan.
Kita mempelajari sesuatu ilmu apabila berdepan dengan satu-satu situasi.
Kita juga mengambil ibrah dari pengalaman-pengalaman orang lain yang sudah melalui suatu keadaan yang tidak pernah kita alami.

Dari situ, kita akan mula menghantar impuls ke aqal fikiran kita untuk mengingatkan diri agar bersedia dan tidak melakukan kesilapan yang sama yang pernah orang lain lakukan.

Tapi terkadang kita terleka,cuai dan alpa hingga kita juga hampir sama terjebak ke dalam kesalahan yang sama.


Inilah kehidupan. Fitrah manusia yang lupa dan tidak sempurna. Maka Tuhan Yang Maha Kuasa menyediakan kita jalan untuk kembali kepadaNya.

Bila terkenang dosa lama, bibir melafaz istigfar. Hati merasa menyesal.

Ujian di saat dalam perjalanan pergi dan pulang ke tempat mencari rezeki itu adalah cara untuk kita ingat bahawa ada yang lebih berkuasa dari kita. Kemalangan-kemalangan kecil mahupun besar adalah ingatan kasih sayang dari tuhan untuk kita. Cuma kita tak begitu faham cara Allah memberi kasih sayangnya.

Apabila kita punya ilmu walaupun sedikit, barulah kita faham. Itupun secara asas, tidak masuk kepada lebih mendalam dan terperinci. Dorongan rakan-rakan juga sedikit sebanyak menjadikan sifat ingin tahu untuk mendalami sesuatu ilmu itu meluap-luap.

Bukanlah bermaksud kita berniatkan kerana makhluk, cuma ia sekadar kita tahu bahawa jalan itu tidak hanya tapak kaki kita sahaja yang berbekas di situ. Ada lagi individu di sekeliling kita yang turut sama yang kita mampu lihat bekas tapak kakinya.

Jatuh bangun itu perkara biasa. Mengapa kapal terbang perlu meninggikan altitudnya ? Mengapa pula ia kadangkala turun ke suatu altitud yakni ketinggian lain? kerana ada tujuannya.

Begitu juga manusia. Ada sebab mengapa kita dicampak ke bawah, kerana ada mutiara-mutiara hikmah di bawah yang perlu dikutip sebelum kembali menapak ke atas.

Sudahkah kita menjumpai mutiara itu ?





Assalamualaikum semua. contengan ini adalah perkongsian penulis sendiri. Sekiranya ianya baik maka ambil lah untuk diguna . Jika tidak, mohon untuk tidak dikongsikan dan memperbetulkan melalui pesanan di ruang komen.

No comments:

Post a Comment