Sunday, July 6, 2014

Tak Selamanya Kita Menjadi Pengembara

Assalamualaikum semua. contengan ini adalah perkongsian penulis sendiri. Sekiranya ianya baik maka ambil lah untuk diguna . Jika tidak, mohon untuk tidak dikongsikan dan memperbetulkan melalui pesanan di ruang komen.

Jam menunjukkan 7.50 pagi.

Masih awal. Saya cuba untuk sampai tepat jam 8.00 pagi walaupun pada dasarnya kami diberi masa yang fleksibel untuk tiba di pejabat.

Berdekatan dengan pejabat, terdapat pam minyak Shell. Saya boleh terus membelok dan menggunakan konsep 'sesaran' atau mengikut jalan simpang yang disediakan. Ditakdirkan Allah, saya terjatuh ketika cuba untuk mengelak sebuah motorsikal yang tiba-tiba membelok ke kiri.


Awalnya tak merasa apa, kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Malah, saya cuba untuk terus membawa motorsikal dengan sendiri ke pejabat. Namun apabila mula melihat darah pekat berwarna merah meniti membasahi seluar, terasa bagaikan ia akan menjadi satu permasalahan. Namun saya terus cuba untuk menguatkan diri, duduk sebentar sebelum terus bergerak menuju ke pejabat. Mujur ada beberapa orang yang membantu, serta rakan sepejabat yang turut sama membantu.

Akibatnya, 4 jahitan di dagu dan luka di bahagian lutut dan betis menjadi 'hadiah' untuk di bawa pulang ke rumah. Sehingga kini, kaki masih tidak dapat dibengkokkan, dan jika banyak pergerakan dilakukan, bengkaknya akan memakan masa yang lama untuk sembuh.

*****************************************************

Sesuatu kejadian itu terjadi, ada hikmahnya. dan boleh jadi, ia untuk mengajar kita bahawa aturan Allah itu adalah yang paling baik. Dan itu juga, menjadi penunjuk, untuk kita ingat, bahawa mati itu bila-bila masa sahaja. Alhamdulillah Allah beri lagi peluang untuk hidup dan memohon ampun di atas kesalahan-kesalahan diri.

Ada yang dijemput dengan sangat lemah lembut, ada pula yang kita sendiri tak jangka. Maka berbuat baiklah di saat hidup, kerana ianya sangat berguna untuk kita. Tadbir dan jalanilah dunia ini dengan ilmu dan ihsan, seperti mana gemilangnya Kerajaan Islam Cordoba satu ketika dahulu.


Gemilangnya Cordoba, Tidak Kita Warisi

Ihsan boleh didefinisikan sebagai merasa kita melihat Allah ataupun Allah melihat kita dalam melakukan sesuatu perkara.Atau boleh juga didefinisikan zaman kini sebagai satu usaha untuk membantu manusia dalam sesuatu hal.

Al-Haitham telahpun menjadi pencetus kepada terciptanya al-qumrah, atau lebih tepat lagi kini dikenali sebagai kamera. Mungkin ada yang pernah dengar, namun ianya tidaklah sekerap kita mendengar nama Alexander Graham Bell dengan telefonnya.


Istana kerajaan Cordoba menggunakan konsep 'al-firdaus' dalam pembinaan tamannya. Di dalam surah An -Nahl, ayat 31

(Untuk mereka) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa,

Boleh dikatakan di taman tersebut disediakan laluan air di tepinya, bagi membolehkan para tetamu meneguk sedikit air jika lelah bersiar di dalam taman. Subhanallah. Ilmu dari Al Quran, dan bersifat ihsan pada manusia.

Dengan bersifat ihsan, ia dapat menjadi amal yang berterusan untuk kita bawa sebagai peneman di dalam kubur, selain bacaan Al Quran.


Lantas, marilah kita refleksi diri, sejauh manakah sumbangan kita ? Berapa ramai yang sudah merasa sumbangan hasil ilmu yang kita peroleh ?


Dan Perhatikanlah Kejadian Alam Di Sekelilingmu

Hinggakan saya terfikir,

" apabila kamu terfikir sesuatu yang agak mustahil terjadi, maka usahakanlah untuk merealisasikan impian itu. Kita tidak akan dapat mencipta kapal terbang jika tidak ada yang berfikir sejauh Abbas Ibn Firnas".

Mungkin diri kita yang banyak lalai ini, tidak akan dapat memahami makna suruhan Allah untuk memerhatikan kejadian alam ini. Ya lah, tengok burung terbang, semut mencari gula, sungai yang mengalir, apa yang kita dapat ?

Penciptaan kapal terbang adalah hasil ilham daripada Abbas Ibn Firnas sendiri yang memerhatikan kehidupan burung-burung yang berterbangan. Malah, Abbas Ibn Firnas juga turut dikenali dengan kepakaran dalam bidang lain. Walaupun tidak ada catatan yang banyak mengenai Abbas, namun usahanya telahpun memanfaatkan jutaan manusia kini.

Mengenal Potensi Diri


Kita harus cepat mengenal potensi diri. Apabila sudah kenal, maka harus selalu diasah agar lebih banyak ilmu yang diperolehi. Dan pengalaman adalah ilmu yang terbaik. Terkadang boleh jadi saat kita sedang berbincang mengenai masalah kawan yang sedang kita beri khidmat konsultasi, kita dapat mengagak apa yang dirasai oleh kawan tersebut.

Ada yang hebat dalam menulis.
Ada yang petah dalam berbicara dan meyakinkan orang.
Ada yang menjadi tempat rujukan kawan-kawan dalam memberi buah fikiran dan nasihat yang berguna.
Ada yang bijak dalam bersajak hingga mampu menjentik hati kita yang lalai ini.

Skil yang ada, jika ditambah dengan ilmu,dan bersifat ihsan sesama manusia, ia menjadi gabungan yang mengagumkan hingga lahirnya golongan yang itqan. Pentingnya untuk meletakkan seseorang di tempat yang betul yang sesuai dengan peranannya.

Mana mungkin akan berjaya pasukan badminton negara jika salah seorang pemainnya adalah Safee Sali. Begitulah juga pasukan bola sepak JDT jika mereka mengambil Lee Chong Wei sebagai pemain mereka.

Ilmu. Kunci Terbaik

Dengan ilmu kita mempelajari sesuatu.
Mengetahui sesuatu.
Mengajar sesuatu.
Dan mempraktikkan sesuatu.

Mempersiapkan diri dengan ilmu adalah proses berterusan. Dari buaian hingga ke liang lahad.
Dari Perlis hingga ke Sabah.
Bukan bermakna apabila tamat ijazah, maka tidak perlu belajar lagi.
Dan bukan juga bermakna apabila ada ijazah, bermakna kita sudah tahu tentang semua perkara.

serba sedikit pesanan yang dapat saya simpulkan dari Ustazah Yasmin Mogahed,

" Kita akan tersilap langkah apabila meletakkan "Menjadi Terbaik" sebagai matlamat. Kita akan jadi tidak peduli dengan orang, ego kerana mahu menjadi yang terbaik, walhal kita sendiri maklum tidak ada yang sempurna. Kita akan kecewa yang amat sangat apabila kita tidak menjadi yang terbaik. Maka ubahlah cara kita berfikir. Jadilah "Lebih Baik". "


hidup ini adalah satu pengembaraan.

Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam

Kita mungkin akan terjatuh ketika berjalan. Namun, kita perlu bingkas bangun untuk meneruskan hidup. Seperti mendaki gunung, kadangkala kita berasa letih, namun untuk menuju ke puncak,nikmatnya berada di puncak, kita harus berusaha juga.

Dan yang paling penting, kita harus mula berjalan di atas jalan itu. Teori yang kita perolehi, ia satu bekal untuk kita. Namun belajar tanpa praktikal, teori itu tak ke mana. Dan menunggu untuk kita terus menguasai semua teori, ia takkan berakhir.

Semua manusia cintakan syurga. Inginkan syurga. Tahu indahnya syurga dengan hidangan yang mewah, bidadari yang cantik, tapi kita tidak memulakan langkah di atas jalan usaha ke arah syurga.

Sampaikah kita ke syurga ?



Peringatan buat diriku yang lupa,

Ulu Klang.



sumber idea :
-Al Quran
-Al-Khawater Season 6
-Always A Traveller - Mizz Nina & Yasmin Mogahed with Sheikh Navaid Aziz 
-muhammad3011.wordpress.com
- Pimpin Aku ke Syurga - Afdholul Rahman


No comments:

Post a Comment