Mengingati mati seharusnya menjadikan kita terus berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan berpaksikan niat yang satu ; kerana Allah Taala. Seringkali kita jatuh dan merenung salah silap kita, moga kita berharap tanda dan ingatan yang Allah kirimkan atas kesalahan lampau, sebagai tanda untuk kita terus dekat dengannya. Saya berpesan 1000 kali kepada diri saya sendiri dan para pembaca, mati harus menjadikan kita berterusan dalam beramal. Kerana, mati adalah pasti. Ia dekat dan tanpa sedar ia sangat hampir.
Alhamdulillah, hari ini genaplah sebulan berada di rumah. Banyak perkara yang dilakukan, dalam usaha menambah ilmu kehidupan disamping membina kekuatan jati diri untuk mempersiapkan ilmu di dada yang hakikatnya , masih dangkal dalam banyak bicara. Bagi yang masih belum mendapatkan kerja, bersangka baiklah dengan menganggap inilah peluang kita untuk berbakti pada orang tua. Hakikatnya, ilmu ini mudah dilafaz namun sukar dilaksana. Kesempatan yang kecil ini saya cuba untuk manfaatkan untuk berbakti kepada orang tua. Zaman kampus yang terlalu sibuk dengan berpersatuan, dan saya sendiri akui mungkin adanya khilaf dan pengabaian tanggungjawab sebagai anak. Namun pastinya, tempoh yang singkat ini tidak mampu membalas jasa mereka membesarkan, mengajar saya, menghantar saya ke sekolah dan yang paling penting, mendoakan. Kerana saya yakin, kejayaan ataupun keadaan saya kini bukan hanya disebabkan usaha, namun kerana doa-doa dari mereka yang budiman, khususnya kedua orang tua kita. Pesanan saya untuk diri saya, hargailah kedua orang tua dan janganlah terlalu mendabik dada mengatakan kejayaan kita hanya hasil usaha kita, seolah-olah menafikan kekuatan doa dari sang ibu dan bapa.
Apa Cita-citamu?
Alhamdulillah, Allah izinkan hamba yang lemah ini untuk menghadiri beberapa sesi temuduga. Ada yang berjalan lancar, dan ada juga beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Namun, satu perkara yang saya ingin kongsikan untuk sama-sama kita berfikir. 1 soalan, yang mungkin bagi sesetengah orang, sudah menjumpai jawapannya. Ada yang hanya 50% menjumpainya, ada yang masih terkial-kial memikirkannya.
Apa cita-cita awak ?
Soalan yang saya kategorikan dalam soalan-soalan "check-mate".
Betul ke dengan kita belajar bidang kejuruteraan, bermakna kita berminat menjadi jurutera ?
Adakah kita suka kanak-kanak maka kita berminat untuk menjadi pengasuh ?
Bukankah ada sahaja mereka yang belajar dalam bidang lain, namun akhirnya menceburi bidang lain?
Musykil.Buntu.
Pastinya niat kita mencari kerja untuk mendapat rezeki yang halal, mendapat pekerjaan yang baik, pekerjaan yang membuatkan diri kita dekat dengan Allah dan banyak lagi. Dan apakah pekerjaan ustaz-ustaz sahaja yang membuatkan diri kita dekat dengan Allah ? Bukankah pekerjaan itu ibadah ?
Apakah bermakna mereka yang menyapu sampah itu tidak dikira ibadah?
Memerah otak mereka bentuk kereta dan pesawat itu tidak ibadah?
Duduk sebentar dan fikir sejenak.
Setiap pekerjaan itu dikira ibadah apabila niatnya kerana Allah Taala. Nah, makanya niat perlulah diperbetulkan. Kita mencari pekerjaan kerana Allah Taala. Allah Taala itu amat suka akan mereka yang itqan ( bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja). Pekerjaan itu juga dapat menjadi salah satu dakwah, dengan cara kita mengetengahkan akhlak dan etika yang baik. Kita bekerja kerana mahu membantu menyelesaikan urusan ummah baik dari segi kejuruteraan, pendidikan, advokasi, perkhidmatan dan sebagainya. Jika kita mahir dalam mereka bentuk pesawat, makanya kita berniat moga rekabentuk ini mampu menghasilkan pesawat yang akan membawa ramai jemaah haji menyempurnakan rukun islam mereka, pesawat ini akan menghubungkan tali silaturahmi antara keluarga dan juga tali ukhuwah antara kita dengan sahabat. Luaskan pemikiranmu nak!
Jika kita ingin memberi advokasi, niat kita pastilah mahu membantu dengan menyelami permasalahan mereka. Mungkin dengan kata-kata kita yang menyenangkan membuatkan mereka berasa lapang dan ingat bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan ianya tidak lain tidak untuk mendidik kita menjadi lebih sabar. Kita juga harus yakin ujian yang ditimpa kepada kita adalah untuk membuatkan kita lebih dekat sama Allah dan juga asbab untuk Allah mengampunkan dosa-dosa kita.
Ikhlaslah dalam melakukan sesuatu perkara.
- apabila seseorang bertekad untuk beribadah dengan ikhlas, namun ada bisikan syaitan supaya kita riya', unsur riya' ini boleh diketahui melalui 2 cara; sebelum amal dibuat dan selepas amal dibuat.
Sebagai contoh, sekiranya selepas solat langsung tidak terlintas niat untuk menzahirkan maka amalan tersebut tidak terhapus, tetapi riya' itu yang terhapus.
Namun, sekiranya selepas ibadah, rasa gembira, dan tidak berniat untuk menzahirkan, itu juga tidak dikira riya'.
Namun, apabila awalnya kita ikhlas, kemudian rasa untuk menzahirkan, di situ adanya riya'.
Dalam persoalan riya', haruslah berhati-hati kerana syaitan akan cuba sedaya upaya untuk menimbulkan rasa ini. Sasaran utama syaitan adalah dengan mengganggu kita supaya tidak mendirikan malam dengan solat-solat sunat dan ibadah yang lain.
Ingatlah riya' boleh menyebabkan solat perlu dilakukan semula. Di dalam perkara ini, janganlah nafsu dipersalahkan, namun salahlah diri sendiri yang tidak dapat mengawal nafsu.
Dalam kita melakukan sesuatu perkara, pastilah kita ingin lakukannya dengan hati yang tenang.
Kerana mahu seronok dalam memberi. Memberi itu rahasia ketenangan jiwa. Namun, bagaimanakah kita mampu mencapai ketenangan dalam memberi khidmat andai pekerjaan itu tidak lain tidak bukan hanyalah sebuah pekerjaan yang menuntut kita memberi komitmen yang penuh dalam melaksanakannya, namun tidak ada jiwa di dalamnya.
Sering kita dengar kata-kata bidalan,
"Kita kena suka apa yang kita buat "
" Kita tak akan dapat semua yang kita nak. Jadi buatlah selagi termampu "
" Kita kena berjuang untuk dapat apa yang kita mahukan. "
"Mesti ada sebab mengapa kamu diletakkan ke sini. Mungkin Allah menghantar kamu untuk menjadi pembina budaya di sini (culture builder) "
" Kita tak boleh ubah sesuatu yang diluar kawalan kita. Ubah benda yang di dalam kawalan kita. Sikap kita, sudut pandang kita...."
" Setiap benda mesti ada hikmahnya.."
" susah-susah dahulu, senang-senang kemudian "
Malah, sering juga kita dengar keluhan sesetengah dari mereka yang bekerja.
" Aku buat je kerja ni. Yang penting dapat duit. Tapi sebenarnya aku tak suka sangat kerja kat sini "
Apakah ini bermakna kita hanya perlu ikut sahaja arus yang membawa ?
Ataupun kita ikut pada awalnya dan menimba pengalaman seluas-luasnya, kemudian memacu kepada keinginan kita ?
Persoalan yang terus bermain, kadangkala tidak punya jawapan yang mampu dirungkaikan.
Ikhlas.redha.pasrah. 3 perkara ini tidak bermakna kita harus menyerah. Mana kita mahu letak ayat tentang Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka berusaha sendiri? Mana usaha kita untuk mengubah nasib kita?
Duduk. Berfikir. Cuba untuk menggabungkan situasi dengan kata-kata motivasi. Lain yang kita hubungkan, lainlah tindakan yang akan kita perolehi dan lakukan.
Atau...adakah kita memilih sesuatu kerana mengambil kira "apa orang kata " ?
mohon dijauhkan.
Terkadang kita berasa kita tak layak, namun kemudian kita berasa pasti ada hikmahnya. Perasaan bercampur baur ini terus menerus berlaku sehinggalah ketenangan jiwa tidak kita kecapi. Tambah dengan teori-teori motivasi yang terus berputar-putar, kita semakin kelam dalam mencari diri.
Hilang dalam ramai.
Ada di antara kita menjalani hidupnya dengan mudah. Pilihannya itu mudah
Ada orang yang bergelut untuk mendapatkan sesuatu keputusan. Kadangkala ia ragu, kadangkala ia gagah.
Ada orang yang punya banyak pilihan, namun dibuatnya pilihan mengikut panduan tuhan
Rezeki masing-masing. Siapa tidak mahu yang terbaik untuk diri masing-masing
Lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan pelaburan untuk jangka masa panjang
Atau adakah ini hanya sebuah ujian dan godaan dari syaitan untuk mengurangkan meter ikhlas kita?
Jadi, apakah cita-citamu ?
atau lebih tepat lagi, apa yang kamu mahu dalam hidupmu?
Saya tidak punya jawapan untuk anda.
#peringatan buat diri yang lupa
No comments:
Post a Comment