orang yang bekerja, inginkan cuti. Untuk mereka sekurang-kurangnya melegakan seketika penat dan lelah setelah sibuk bekerja. Peluang cuti yang diberikan, terkadang tidak semua orang dapat. Maka, apabila kita memperolehinya, gunakanlah dan manfaatkanlah sebaiknya. Semaklah semula hadith rasulullah s.a.w dan menjadi inspirasi buat kumpulan nasyid Raihan dalam bait-bait lirik nasyidnya,
" Lapang sebelum sempit,
Muda sebelum tua "
Mencari Pekerjaan. Ibrah untuk Melihat Sejauh Mana Kita Terikat
Terkadang apabila kita gelisah kerana masih tidak mendapatkan pekerjaan tetap, itu barangkali ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana kita bergantung denganNya. Sering kita melihat rezeki dan masa depan kita dari kehidupan orang lain.
" Dia dah dapat. Aku bila lagi "
" Kerjanya bagus. Untunglah "
Lebih-lebih lagi jika kehidupan semasa di kampus dahulu, kita begitu padat dengan aktiviti, baik kerja di dalam dewan kuliah, aktiviti berpersatuan dan sebagainya. Mula rasa seperti cacing kepanasan.
Namun, sebenarnya, inilah peluang untuk kita bermuhasabah semula . Reset semula minda dan cara pemikiran kita. Adakah kita mahu menjadikan diri kita seperti orang lain. Sedangkan Allah telah menetapkan yang terbaik buat kita.
surah al-Imran ayat 54
ALLAH berfirman dalam al-Quran “Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”
Namun, berserah bukan bermakna kita meletakkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah, tanpa ada usaha dari diri kita. Usaha dan doa janganlah putus-putus, semoga kita kekal positif dalam menerima ujian dan rezeki dari Allah. Cepat atau lambat, lebih untuk melihat sejauh mana kita kekal bersabar dalam menghadapi mehnah dalam kehidupan ini.
Peluang Menyusun Strategi
Maka, manfaatkanlah cuti atau 'masa rehat' ini untuk kita kumpul semula kekuatan. Dari segi intelek, penyusunan masa, menetapkan visi dan misi, di samping muhasabah diri. Terkadang kita jauh berjalan, dan sesekali perlu menoleh ke belakang, untuk kita melihat, adakah kita ini meninggalkan kesan yang baik, mahupun kurang baik.
Ini bukanlah masa rehat yang sebenar. Pengisian rohani perlu diisi. Teringat pesan salah seorang kawan saya apabila ditanya aktiviti sementara menunggu pekerjaan tetap,
"Kalau waktu tak kerja ni diisi dengan perkara bermanfaat macam menuntut ilmu agama. Manfaatkan masa tu. Sebab bila dah kerja, masa agak terhad"
" Jadilah P.A ibu. Dapat gaji akhirat"
ada kebenaran di sebalik bait-bait kata-katanya. Tak payah menunggu kerja betul, sewaktu di dalam kampus sendiri, terkadang kita menyusun dengan aktiviti melibatkan persatuan, namun ada sahaja perkara lain yang mengalihkan fokus. Salahkan syaitan? didiklah nafsu.
Merangka perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang menjadikan kita supaya sentiasa fokus pada misi ; hidup mulia mati syahid. Jika dahulu graf keimanan kita turun naik, maka kali ini kita perlu bersedia menghadapi ujian yang semakin hebat menanti kita, lebih lebih lagi kita di akhir zaman.
Terdapat Beberapa Manfaat Dari Keputusan Kita Menetapkan Matlamat
1) Memberi visi yang jelas mengenai apa yang penting bagi kita dan apa yang kita ingin capai
2) Memberi arah pemikiran yang jelas terhadap apa yang mampu kita capai
3) Memiliki fokus yang jelas tentang visi kita
4) Membantu kita memutuskan apa yang tepat bagi diri kita , bukan orang lain.
Keluar dari pemikiran biasa. Letih dengan perbezaan, perbalahan ummat yang tidak henti. Dari soal politiknya, hinggalah perbincangan agama menumpukan kepada persoalan-persoalan cabang sahaja. Kita harus menjenguk ke luar tingkap Malaysia.
Lihat Syria yang sudah lama sengsara. Palestin yang masih terus bermandi darah. Etnik Rohingya yang terus ditindas. Kita di sini pula, sibuk bergaduh soal politik dan henti-henti. Perbezaan pendapat harus diraikan, malah kita sendiri perlu berhati-hati dalam menjadi 'pengulas isu'. Peringatan lebih kepada diri sendiri. Hormati mereka yang mempunyai ketinggian ilmunya. Baik dari segi ilmu agama, mahupun ilmu teknologi moden. Barangkali ada perkara yang mereka tersalah, namun tidak bermakna kita berhak terus membenam mereka sehingga masuk ke dalam jurang paling dalam.
Pemikiran anak muda hari ini perlu kembali dijernihkan. Mengelakkan dari persengketaan, bersatu demi survival masyarakat am. Terkadang kita akui, kita cukup lantang memperlekehkan idea. Lebih banyak menyakat dari bermuafakat. Lebih banyak mencerca dari memberi idea. Terkadang kitalah ahli nujum terhebat di negara. Kebebasan bersuara diagungkan, tetapi kita lupa hadith tentang "lebih baik diam" dan "selidikilah sesuatu perkara ".
Muhasabah diri, membentuk jati diri. Membentuk sistem kepercayaan diri. Kebergantungan kepada tuhan.
No comments:
Post a Comment