Thursday, July 25, 2013

Aku Insan Tak Punya Apa

Assalamualaikum semua.

Mulakan dengan berzikir Allahuakbar..

Allahuakbar..

Allahuakbar..


Allahuakbar..

Teruskan berzikir dalam hati tatkala anda membaca post ini hinggalah ke akhir..



Sedar tak sedar, sudah separuh ramadhan berlalu. Lama rasanya tidak menulis. Tidak berkongsi info, ilmu yang berguna untuk kalian. Bukan apa, cuma tidak tahu menulis apa. Tidak tahu mahu berkongsi apa. Namun, apabila penulis menjumpai sepotong ayat;

"Jangan menunggu terinspirasi baru menulis. tapi menulislah, maka inspirasi akan hadir dalam tulisanmu"

Maka saya cuba untuk mencari tajuk untuk menulis. dan ramadhan hadir, sedikit sebanyak memberi idea untuk saya menulis dan berkongsi serba sedikit. Mungkin tulisan yang tidak seberapa ini tidak mampu untuk membantu para pembaca menambah amalan, namun diharap ianya dimanfaatkan untuk orang lain.

Ramadhan- Bulan muhasabah.


Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita, pastinya memang sudah tertulis.dan ia adalah suratan, dan bukanlah satu kebetulan. Dan setiap yang berlaku pastinya ada sebab dan musabab, dan untuk kita sama-sama mencari hikmah dan menilai semula diri sendiri. Kadang-kala kita merasakan kita sudahpun dijalan yang lurus, namun jangan lupa gangguan syaitan dan banyak lagi anasir-anasir. Namun, bagi saya, cukuplah syaitan dikambing hitamkan atas kesilapan-kesilapan diri sendiri. Kesilapan diri sendiri, datangnya dari kegagalan diri sendiri untuk mengawal nafsu. Lebih berat lagi, jika kita sudah tahu,tapi tidak mampu. Allah.ampunkan dosaku,dosa kami.amin.

Dalam bermuhasabah ini, kadangkala kita terasa sungguh tak layak untuk mendapatkan sesuatu nikmat, pemberian, rezeki dariNya apabila kita sedar betapa besarnya dosa yang kita lakukan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan hubungan kita sesama manusia. Lebih berat lagi apabila kita menjadi punca orang lain melakukan kesilapan dan dosa. Allah, ampunkan dosa hambaMu ini ya Allah. hambaMu yang lalai ini. Biarpun ada yang beranggapan perkara yang sudah berlalu, Allah Maha Pengampun, namun bagi penulis, jawapan itu dari Allah. Kita harus terus menerus memohon ampun dan maaf. Keluh kesah, perasaan takut dan harap, harus sentiasa diletakkan.

Dan pastinya, adalah satu perkara yang rugi apabila kita langsung tak pernah membantu,memimpin orang di sekeliling kita untuk mencapai syurgaNya. Tahu, tapi tak buat. Allah berfirman dalam al quran " Mengapa kamu berkata sesuatu yang tidak kamu berbuat ?". Inilah salah satu konsep hukum tarikan (law of attraction) dalam Islam. Kita dengan senang hati berkata itu ini, di dalam tulisan kita,di dalam percakapan kita, dan ingat, kita sendiri akan diuji dengan kata-kata kita sendiri. Ya, ujian ini memang dari Allah, namun sedikit sebanyak jika difikir kembali, ianya adalah hasil dari corak pemikiran kita terhadap orang lain. Allah uji kita dengan apa yang kita sendiri cakapkan.

Begitu juga dalam perbuatan. Jika 5 kali kita buat perkara yang sama terhadap orang lain, maka tak mustahil 5 kali jugalah kita akan kena. Jika 3 kali, maka 3 kalilah. Cuma kita sedar atau tidak sahaja. Dan kadangkala, Allah bagi dalam bentuk yang lain. Allah Maha Adil.Allah Maha Adil. Mungkin ini yang dialami oleh rakan saya.Cuma saya kadang-kala tidak faham apa yang beliau rasa.Allah, butanya mata hati.

Allahu Allah. Sungguh besar dosaku, tak sanggup ku nerakaMu, namun aku sedar aku tidak akan dapat masuk ke syurgaMu melainkan dengan rahmatMu.


Maka, apabila perasan dan sedar, diri ini penuh dengan dosa, maka kadangkala impian, harapan yang kita harapkan itu, seakan hanya tergantung di ruang legar impian sahaja. Sukar dan malu untuk dicapai, kerna tahu kekurangan diri, kekurangan hingga menyebabkan orang lain terkena tempiasnya. Kekurangan hingga membawa kesan negatif kepada sekitarnya. Hinggakan kadangkala kita menghadapi komplikasi pola kehendak yang berbeza; hati,minda dan perbuatan. Hati mahukan ini, minda mahukan ini, dan perbuatan melakukan perkara lain.

Malunya pada diri, orang lain sudah ke depan, aku masih di sini. Jelas,rugilah orang yang sama akhlaknya hari ini dengan semalam. dan celakalah orang yang lebih teruk dari hari ini.

Dan akhirnya, dalam kekusutan yang berlaku, maka balutlah hati,fikiran dan perbuatanmu dan hantarkanNya pada Sang Pencipta. Sang Pencipta yang tidak pernah lelah memberi nikmat, dan tidak pernah lelah memberi ampun. Moga dibalas dengan yang terbaik; dan pasti yang terbaik untuk kita.

Bukanlah bermakna kita harus berhenti berusaha, tetapi memohon diperkuatkan dengan pertolongan yang Maha Esa.














No comments:

Post a Comment