Friday, May 17, 2013

Mampukah Menghadapi Ajal dengan Senyuman

Lihatlah kematian berdiri
Bagai turus-turus cahaya antara ranjangku
Dengan jarak yang tiada batas
Tahanlah nafasmu dan dengarkan kibaran kepak sayap-sayapnya
Dekati aku, dan ucapkan selamat tinggal buatku....


sajak karya Kahlil Gibran 

Terlalu lama masa diambil untuk kembali aktif dalam bidang penulisan di blog ini. Beberapa artikel yang ingin dihantar ke beberapa ruangan, juga terbatas.Kerana kesibukan menguruskan beberapa perkara ? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Barangkali kerana kurangnya pengurusan waktu membuatkan saya kini akan tidak tersusun waktunya.

Beberapa situasi semasa seperti pilihanraya umum, program-program di kampus, tidak sempat untuk saya ulas. Allah. Terasa bakat sebesar zarah ini disia-siakan.

"Maka Nikmat Tuhan Yang Manakah Yang Kamu Dustakan "

Ketika itu, mula memberi alasan. Kononnya tidak mahu memberi idea kerana tidak yakin dengan hujah. Ya, perkara ini semakin lama membuatkan saya cukup takut untuk memberi pandangan lebih lebih lagi melibatkan perkara yang berkaitan dengan hukum hakam.

" Afdhal, kalau yang ni boleh ke ..."
" Boleh ke kita buat....... , Afdhal? "

Takutnya untuk memberi pandangan, kerana bimbang dipenuhi dengan emosi.

Satu ketika, diri terasa sungguh bertuah kerana berpeluang untuk mengikuti beberapa program yang menambah ilmu. Namun, jika kita gagal untuk menghadirkan diri, sifat hakiki bagi manusia itu juga yang menjadi tempat saya menuding jari.

" Manusia kan pelupa."
" Manusia pun penat, ada kerja lain "

Saya teringat kata-kata dari seorang sahabat saya. Satu ketika beliau tidak hadir ke sesi usrahnya kerana hujan renyai-renyai. Lalu apabila berjumpa dengan teman-temannya, dimaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir kerana hujan.

Lantas, sahabatnya berkata padanya,
" Kalau enta datang ke majlis hari tu, ditakdirkan enta meninggal, siapa tahu boleh syahid. Ya lah, meninggal sewaktu enta ingin melakukan kebaikan "


Malaikat Maut Datang 5 Kali Sehari Bertemu Kita

Mengingati mati itu kadangkala membuatkan kita terasa bagaikan sudah tidak bermakna lagi apa sahaja yang kita lakukan. Jelas, prinsip ini harus sama-sama kita kikis kerana kehidupan yang abadi itu bukan di sini, tapi di sana. Kadangkala kita tergelincir dari landasan, namun bersegeralah untuk kembali bertaut pada tali cintaNya.

" Kita kalau buat semua benda, semua ada persiapan. Nak kahwin, nak kerja apa, nak rumah macam mana, semua kita siapkan. Padahal tak 'confirm' lagi yang tu. Ni yang mati ni, bagaimana persiapan kita ? "

Satu suasana yang betul-betul membuatkan diri kembali berfikir. Dan dalam masa yang sama, ia seolah-olah Allah cuba untuk menenangkan hati hambaNya, yang sedikit sebanyak terasa sedih kerana tidak dapat tiba di garisan penamat pada masa yang sama.

Pastilah yang paling ditakuti ialah soal amanah. Sejak dari kecil lagi hinggalah ke universiti, amanah dalam kepimpinan itu dipikul. Dan kini, saya cukup risau andai amanah yang mungkin saya culas dahulu akan menghalang saya dari bersegera merebut syurga.

Sering kali saya terfikir, apa guna jawatan yang dahulu pernah kau sandang, tetapi kau tidak gunakan di jalan Allah, kau tak membantu agama Allah ?

Allahurabbi, ampunilah kami.


Kadangkala, pening kepala yang sering melanda itu memberi petanda, bahawa ia boleh menjadi punca, bertemu Yang Maha Esa.



 

No comments:

Post a Comment