Tuesday, March 5, 2013

-tawakkal-

Assalamualaikum semua.




 


Semalam, disebabkan tiada aktiviti. jadi saya berpeluang untuk menonton drama Warkah Cinta. drama 12 episod ini sudahpun ditayangkan di TV Alhijrah dan ia adalah adaptasi dari novel Warkah Cinta Berbau Syurga. Alhamdulillah, novel ini telahpun saya baca tatkala saya diploma, sekitar tahun 2008. Ketika itu, ini merupakan hadiah dari sahabat saya. Buku yang menarik. InsyaAllah akan saya kupas, cuma kali ini kupasannya mengikut drama.  Saya menghabiskan masa dari selepas Zohor sehinggalah sebelum tidur.

Ia boleh saya ringkaskan sebagai kisah 2 orang insan yang bertemu ketika masih di zaman persekolahan dan mengatur agar dapat disatukan dalam keadaan yang sah. Amir Mukhlis, salah seorang pelajar tahfiz, sementara Wardah, seorang pelajar terbaik di seluruh negeri. Mereka berdua kebetulan merupakan sidang redaksi bagi majalah sekolah masing-masing. Amir cuba untuk berpegang pada prinsipnya untuk tidak mengungkapkan cinta kepada yang bukan menjadi isterinya hinggalah beliau menyambung pelajaran ke Mesir. 

Selebihnya, eloklah jika anda sendiri menontonnya. Nanti tidak berapa seronok pula jika anda dengar ulasan saya. ^_^

Ada beberapa adegan yang terkesan di hati saya.


1) Ibu Wardah inginkan menantu yang baik
Tatkala Wardah memberitahu ibunya siapa Amir Mukhlis itu, ibunya kelihatan gembira." budak tahfiz,mesti boleh mengaji, jadi imam kat surau kampung. Nanti kalau orang kampung tanya anak siapa, nanti mak cakaplah dia menantu mak."
Adegan kedua apabila Wardah dan ibunya melawat Amir yang dimasukkan ke hospital. " Mak rasa, kamu tak salah pilih ni. "

Besarnya harapan orang tua terhadap pilihan kita. Pilihan yang biarlah bukan sahaja menggembirakan hati empunya badan, tapi juga kepada kedua orang tua kita. Kalau orang tua tak berkenan, hmm.mungkin akan ada masalah. Pendek kata, restu ibu bapa lah yang utama.

2) Dibaling racun, dibalas madu
Sikap Amir yang sentiasa baik dan tinggi semangat setiakawannya. Walaupun berlaku perselisihan faham di antara beliau dan rakannya seperti Zaki dan Din, beliau tetap sedaya upaya menjaga ukhuwah yang terjalin itu. Jangan hanya disebabkan seorang perempuan, hubungan itu retak. Hinggakan beliau sanggup mempertahankan Zaki dari dipukul oleh samseng upahan Syamsul. Hinggakan, kepalanya cedera.

Nilai semula nilai ukhuwah kita sesama kawan-kawan. Adakah kita hanya bersama rakan-rakan tatkla masa senang kita ? ataupun kita sendiri meninggalkan kawan-kawan yang ada sewaktu masa susah kita. Muhasabah dirilah. Mungkin kadangkala kita terlepas pandang perkara yang kecil. Namun, perkara yang kecil itulah yang memberi bekas di dalam hati rakan-rakan kita.


3) Tawakkal

Inilah saya rasa nilai yang paling banyak diketengahkan. Walaupun masing-masing terutama sekali Amir yang cuba sembunyikan perasaannya, tetapi ianya dimanifestasikan melalui perbuatannya. Bagaimana mereka meletakkan kebergantungan sepenuhnya terhadap Allah dalam urusan itu. Allah. Masing-masing menyibukkan diri dalam ilmu. Walaupun kadangkala ada sesekali bermain di dalam fikiran dan sebagainya.
Hebatnya dan tingginya tawakkal itu. 
Ada juga kadangkala Wardah mula risau tentang bagaimana pengakhiran kepada kisah mereka, namun beliau terus tetap menunggu hinggalah saat beliau menghantar warkah terakhir kepada Amir.


4) Perubahan

Benarlah orang kata, sikap kamu sebelum perkahwinan itu akan kebiasaannya akan terus kekal walaupun setelah berkahwin. Sikap Syamsul yang panas baran, suka berfoya-foya itu masih tidak dapat diluputkan di dalam diri. walaupun Wardah sering kali mengajak beliau untuk solat bersama dan sebagainya.

Jadi, perubahan haruslah dilakukan sebelum pada firasat saya. Memantapkan ilmu kekeluargaan dan sebagainya, agar benar-benar bersedia menempuh hidup di alam yang lain.


5) Hargai ketika masih ada.
Setelah ketiadaan Wardah, barulah Amir berani mengatakan apa yang beliau rasa. Namun, itu sebenarnya sudah terlambat. Namun, dalam konteks hal ini, kita dapat lihat teguhnya prinsip yang Amir pegang. Amir digambarkan sebagai seorang yang pemalu tetapi mempunyai prinsip.


Banyak sebenarnya nilai-nilai yang boleh kita dapat. Daripada sekadar tengok, cedoklah ilmu dari drama seperti ini. Dan, lagu tema drama ini kini sudah mula meruntun jiwa, hingga pabila mendengar alunan permulaan dari lagunya sahaja, sudah boleh dirasa auranya.

Jadi, selamat menonton !


1 comment:

  1. ada sambungan lagi cerita nie...continue dengan heroin bakal dr gigi..shooting akan diadakan di usmkk... ;)

    ReplyDelete