Sunday, March 3, 2013

Berusaha Ke Arah Mampu - Sebelum Aku Bernikah

Assalamualaikum semua.





Menyambung entri yang lepas mengenai buku yang dibeli. Alhamdulillah, saya sudahpun membaca 2 buah buku dari jumlah semua yang saya beli. Ternyata banyak juga ilmu-ilmu baru yang saya perolehi.



Untuk buku Bayu kerinduan Haramain, buku ini banyak menceritakan sejarah terhadap beberapa ibadah dan lokasi penting yang terdapat di bumi Makkah Al Mukarramah. Apabila kita beribadah dengan ilmu, ia pastinya lebih terkesan di hati. Kita tahu mengapa sewaktu tawaf tidak boleh memasuki ruang Hijr Ismail. Kita tahu definisi makam sebenar. Dan banyak lagi. Buku ini sesuai untuk mereka yang ingin menunaikan haji/umrah, mahupun untuk mereka yang sudah menunaikannya. Kerana sedikit sebanyak, ia memberi bibit-bibit kerinduan di antara hati kita dengan tanah suci ini.





Buku Sebelum Aku Bernikah karya Hilal Asyraf.



Buku ini pada awalnya saya tidak berminat untuk membelinya.



Kerana memikirkan masih awal.Untuk bersedia ke alam perkahwinan. Walaupun beberapa kali urusan berkaitan dengannya dijalankan.



Boleh jadi Allah bagi signal untuk saya betul-betul serius memikirkan tentang ini. Perkara penting ini, jangan dibuat main. Dan apabila jangan dibuat main, kena bijak mengurusnya.



Namun, Allah aturkan supaya saya membeli juga buku ini. Sebagai bekalan. panduan untuk diri sendiri. Dan saya kira banyak input baru yang boleh dijadikan teladan dan panduan, namun tidaklah boleh dijadikan dalil. Boleh jadi cabaran yang dilalui oleh saudara Hilal berbeza dengan kita.





Ada beberapa perkara yang saya ingin ketengahkan dari bacaan saya;

- definisi cinta

- berusaha ke arah mampu

- Yakin dan tetapkan hati

- Bahasa SMS dan Emel



Definisi cinta yang diungkapkan saudara Hilal itu rigkas bunyinya, tapi penuh dengan pengisian.

" Cinta itu adalah bersama-sama berada dengan mereka di syurga. Apa-apa yang membawa orang lain ke neraka, bukan cinta."



Setuju.dan tepat ke kepala ni. Rasa macam 360 darjah dah kena tembak dengan frasa ayat sebegini.

Tak kiralah cinta dengan manusia mahupun dengan ahli keluarga sendiri.

Ia juga menjadi muhasabah.Sejauh mana kita membawa orang yang kita cinta ke syurga.

atau kita lebih membawa ke neraka? nauzubillah. Astagfirullah.



Allah memberi teguran kepada saya, sekaligus merungkaikan jawapan kepada persoalan yang bermain selama ini. Bila matlamat jelas, maka ia menjadi mudah. Allah kembali mengingatkan saya, sungguh saya seorang pelupa. Padahal saya pernah mendengar frasa ini tatkala Hilal mengadakan ceramah di UTM tahun lepas.

Ia harus menjadikan kita berfikir sebelum berkata sesuatu. Melakukan sesuatu. Meletakkan definisi cinta ini sebagai matlamat, membuatkan saya harus mengawal diri, mengawal tulisan, agar apa yang saya lakukan tidak membawa orang lain ke neraka.

Berusaha Ke arah yang mampu

Berusaha. Apabila kita sudahpun merasakan yang kita dalam situasi ini, maka haruslah kita mula untuk membuat persiapan diri. Persiapan dari aspek kerohanian, emosi, material dan juga ilmu kekeluargaan. Ia penting, kerana mana mungkin kita hendak ke syurga dengan persiapan yang tidak lengkap.

Siapa yang tidak mahu kahwin awal, berkeluarga dan sebagainya. Namun, bagi saya, jika persiapan-persiapan ini masih belum utuh, pastinya akan menyukarkan kita selepas bernikah. Bukan tidak boleh nanti, cuma jika boleh diperoleh sekarang, mengapa menunggu masa nanti ?


Persiapan rohani.Kita sudah ada target, dalam tempoh sekian-sekian waktu, kita sudah boleh konsisten melakukan amal ibadah. Menunaikan solat fardhu tepat waktu, solat-solat sunat,ibadah sunat yang lain,membaca al quran 4-5 muka sehari. Ia sedikit sebanyak memberi kita peluang untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Mana mungkin nak memimpin orang lain, jika memimpin hati untuk menjadi hamba dan khalifah yang lebih baik sahaja sudah culas ?

Kena sedas lagi.

Dalam aspek emosi. Ia sebenarnya berkait dengan hubungan di antara manusia-manusia. Bagaimana kita menguruskan emosi dan sifat yang degil, " aku sahaja betul" dan sebagainya. Dan bagi lelaki, egonya yang tinggi itu. Namun, apabila kita mula serius, ego itu sanggup kita rendahkan, budaya tolak ansur banyak dilakukan. Dengan kawan-kawan, atau sesiapa sahaja. Bagaimana kita meraikan pendapat orang lain dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kita juga harus bijak mengkaji emosi orang di sekeliling kita. Belajar perbezaan lelaki dan wanita.Belajar bahasa tubuh mereka.

Sebab itu, bahasa SMS dan emel adalah bahasa yang susah untuk difahami. hanya senada. Kadangkala kita tulis dengan nada lain, tapi dibaca dengan nada lain. Sebab itu kadangkala perlunya penjelasan terhadap sesuatu perkara agar tidak ada salah faham apabila menerimanya. Kadangkala,kita menghantar SMS dengan niat sekadar ingin tahu, tak lebih dari itu. Tapi fikiran penerima merasakan lain. Mungkin kita juga pernah merasakan sedemikian. kadangkala kita menghantar SMS kepada rakan, tapi rakan tersebut tidak membalasnya. Bersabarlah. allah sedang menduga kamu.


Dalam aspek material, pastinya harus kita mempersiapkan satu jumlah wang untuk kehidupan rumah tangga. bukan sahaja untuk majlis perkahwinan. Tatkala menulis ini, saya tercadang untuk membuat kertas kerja majlis perkahwinan saya sendiri, beserta bajet-bajet tahunan ala-ala pembentangan bajet negara oleh perdana menteri kita di parlimen. Nampak macam lawak,tapi bagi saya ia membantu. Sekurang-kurangnya kita sedar dan faham kondisi dan keterbatasan masing-masing. Dan kita juga sudah punya matlamat. Tinggal masa untuk mengamalkan sahaja. Kita harus buktikan kepada ibu bapa sendiri mahupun ibu bapa bakal pasangan kita yang kita ini dalam keadaan mampu. Mungkin tidak 100%, namun sekurang-kurangnya usaha yang kita tunjukkan itu berada dalam gred A. Bukanlah bermaksud mengejar material semata-mata, cuma ia sebagai satu usaha untuk menunjukkan tahap keseriusan kita. Di sini ego seorang lelaki itu harus digunakan. Kita  tidak mahu ibu bapa kita menjadi pembayar kepada majlis pernikahan kita. Bukanlah tidak boleh, cuma boleh jadi anda tidak berasa susah dan jerih perih ibu bapa anda mendapatkan duit untuk perbelanjaan anda. Bila kita sendiri merasakannya, kita akan faham kesusahannya dan di situlah kita akan merasakan kemanisannya.


Yakin dan tetapkan hati
Jika kita sudah yakin dengan pilihan di hati, maka tetapkanlah hati. Usah pandang kiri kanan seolah-olah masih mencari. Hargai mereka yang pasti bersama dengan kita, kerana itu realiti.

Saya berbicara bukan untuk sesiapa. Tetapi untuk berkongsi dan sama-sama memperbaiki diri. Sekiranya ada di antara tingkah laku saya yang agak lari dari konsep ini, tegurlah saya. Saya siap menerima teguran dari anda semua. Sungguh, saya merasakan apabila kita meletakkan matlamat-matlamat yang ingin dicapai ini, Allah akan hantar berita-berita untuk kita rebut peluang bagi menjadi salah satu perkara dan usaha untuk mencapai ke arah yang mampu.

Sebenarnya , kita sendiri sudah pernah melakukan dan menjadikan keadaan menjadi biasa. Cuma sebab mungkin tak banyak aktiviti dalam kebelakangan ini, kita mula menjadikan yang biasa kepada luar biasa. Hingga kadang-kadang sampai fikiran terbang melayang.

Tak mustahil kan untuk kembali semula ke keadaan itu ?
Saya yakin. dan yakin ditambah usaha.


Peluang untuk mencari rezeki ini tidak akan saya sia-siakan. Saya berharap ilmu yang saya ajarkan kepada mereka dapat membantu mereka menjadi hamba Allah yang baik dan khalifah yang baik. aminn.

Semoga allah permudahkan urusan saya, dan urusan anda semua.amin

No comments:

Post a Comment