Saturday, September 1, 2012

Ucapan Selamat Datang Untuk Mahasiswa Baru UTM 2012/2013



Assalamualaikum semua. perutusan sempena kemasukan mahasiswa baru ini adalah hasil olahan dari ucapan bagi menyambut kehadiran mahasiswa baru UTM sesi lepas.Namun ditambah bagi memastikan ianya sesuai pada saat ini.


Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.
begitulah maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w

Pertama, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran kerana masih lagi diberi peluang untuk menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia sesi 2012/2013. Bersyukurlah,kerana masih ramai di luar sana yang tidak mendapat hak pendidikan yang sepatutnya. Di luar sana ummah sedang mengharapkan sesuatu dari anda semua. Ummah mengharapkan agar dengan ilmu yang bakal anda perolehi di sini baik di dalam kampus mahupun di luar kampus, dapat membantu memberi impak walaupun sedikit kepada kehidupan seharian mereka. Ummah mengharapkan anda semua wahai bakal pelapis kepimpinan negara !! Ummah mengharapkan kepimpinan yang berjiwa rakyat dari anda satu ketika nanti.

Mahasiswa-mahasiswi baru sekalian,
Tetapkanlah niat dan tekad anda sepanjang tempoh pengajian di sini. Tetapkanlah mimpi-mimpi yang anda ingin capai di sini. Jadikanlah proses pengajian di sini sebagai proses dalam menjadikan mimpi-mimpi anda di sini nyata. Mimpi atau impian mahasiswa sekalian haruslah bersifat dwi-dunia dan dwi-masa, iaitu untuk dunia dan dunia akhirat dan masa pendek dan masa panjang.

Mahasiswa-mahasiswi yang saya sayangi kerana Allah,
Jika kalian semua mahukan keputusan cemerlang dalam keputusan peperiksaan,mahukan gelaran 4 flat, maka jangan lupa kejarlah juga cinta Allah. Allah sentiasa menghamburkan ruang dan peluang untuk hamba-hambaNya. Maka, masukkanlah juga dalam impian anda untuk sekurang-kurangnya khatam Al Quran setahun sekali di sini.

Hayatilah motto dan tagline UTM sendiri, "kerana tuhan untuk manusia". Lakukanlah segala apa yang anda inginkan, segala apa yang anda inginkan, selagi ianya di bawah ridho Allah dan manusia sekeliling. Tidak guna melakukan sesuatu kebaikan jika ianya menyakiti hati manusia sekeliling kita. Jelas itu bukanlah akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita.

Untuk lepasan diploma tidak kira samada dari UTM sendiri mahupun politeknik dan sebagainya, ingatlah bahawa alam ijazah bukanlah satu alam yang mudah dan menyeronokkan. Ia adalah tentang persaingan. Kuatkanlah mental dan fizikal. Secara jujurnya untuk mahasiswa lepasan UTMKL, anda akan merasa rindu terhadap UTMKL. Rindukan suasana, gelak tawa di sini. Di Johor Bahru, ia mengajar anda erti berdiri di atas kaki sendiri.

Sahabat-sahabat sekalian,
Malah, saya juga berharap agar mahasiswa baru UTM tahun ini menyertai segala aktiviti yang dianjurkan baik oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dan persatuan-persatuan lain mahupun pihak universiti.





Selain itu juga, dalam meraikan semangat kemerdekaan. saya suka untuk mengingatkan diri saya, dan sahabat-sahabat sekalian untuk benar-benar bukan sahaja memahami erti kemerdekaan, malah mengisinya dengan aktiviti dan penghayatan yang wajar demi memastikan definisi sebenar kemerdekaan ini. Kemerdekaan bagi saya ialah satu perasaan di mana kita boleh menerima dan memberi pandangan secara intelektual dan hujah yang kukuh tanpa wujud sebarang syak wasangka antara satu sama lain.

Sahabat-sahabat sekalian,
Sertailah program bersifat sukarela dan kemasyarakatan, kerana ia menambah rasa kesyukuran.
Biar berbeza pendapat,yang pentingnya hasilnya sepakat.
Biar hati bersatu, walau hakikatnya tidak sebulu.
Biar Tinggi sifat pemaaf,kerana manusia itu banyak khilaf.
Bertindak mengikut hati,tanpa ada tersakiti.
Bertindak mengikut akal,biar membentuk pemikiran glokal.

 Pastikan segala dokumen penting, serta buku dan al quran turut dibawa.Barulah seimbang ilmu dunia dan akhirat. Selagi saya sampaikan, bahawa segala peringatan,nasihat ini bukan sahaja untuk diri anda semua, malah menjadi pemangkin untuk saya supaya lebih kuat bekerja kerana Allah.InsyaAllah.

Akhir kata, semoga sentiasa di dalam ridho Allah dalam mencapai mimpi-mimpi anda! bangkitkan kata-kata inspirasi dalam diri anda!
Anda mampu melakukannya.



Muhammad Afdhaluddin Mohd Yusof
Rakan HEMA/Pemangku Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia 2012

 

No comments:

Post a Comment