Sunday, September 16, 2012

Coretan Menjelang PRK

Assalamualaikum semua.



Sana sini kedengaran isu PRK. Di UTHM dan UNISZA,penamaan calon sudahpun diadakan. Untuk UTM,  saya sendiri belum mendapat khabar mengenai perkara ini. Di kesempatan ini, ingin saya kongsikan beberapa perkara dari saya. Mungkin pengalaman saya hanya sedikit,namun saya berharap yang sedikit ini mampu dimanfaatkan oleh anda semua.

Dalam membentuk sebuah politik yang lebih sihat dan matang, isu paras rupa, pemberian hadiah haruslah ditolak tepi. Kita harus lebih melihat kepada kredibiliti. Namun, dalam soal ini, ada yang berpendapat, memilih calon yang diwakili parti A lebih elok walaupun hakikatnya kredibilitnya tidak meyakinkan.

Mungkin dalam konteks Malaysia, kita lebih memfokuskan kepada parti, kerana calon yang bertanding dan menang agak sukar untuk menjalankan ideologi-ideologinya yang mungkin bertentangan sedikit dengan ideologi parti. Parti dilihat lebih dominan. Namun , bagi kampus, saya berpendapat kita harus lebih melihat kepada kekuatan calon dari parti. Di sini saya kemukakan beberapa perkara hasil penglihatan saya sejak hari pertama MPM UTM dilantik bagi menguatkan hujah saya ini.

Pastinya pendapat saya ini dikuatkan lagi dengan peraturan pilihanraya kampus UTM yang lalu yang melarang calon bergerak melalui parti. Namun, TNC HEMA memberi kelonggaran terhadap perkara ini dalam PRK yang lalu.

Perkara yang utama adalah kerana parti mereka hanya bergiat aktif ketika menjelang PRK. Bermula sekitar 1-2 minggu sebelum, hinggalah tamatnya pemilihan kabinet MPM. Walaupun ada parti yang turut bergerak selepas dari tempoh berkenaan, namun gerakannya adalah tidak terlalu aktif sepertimana menjelang PRK. Jarang kita melihat gerakan-gerakan ini terus hidup sepanjang semester.

Kedua, kedua-dua parti tidak mampu menzahirkan struktur organisasi mereka, baik di dalam laman maya, mahupun di dalam keadaan realiti. Paling tidak,kita mengetahui si fulan ini pengerusi, yang ini ketua jentera, yang ini calon. Itu sahaja. Kita tidak mengetahui tentang jawatan yang lain. Walaupun begitu, ia bukanlah alasan yang kuat, kerana Hamas di Palestin sendiri tidak memaklumkan secara terperinci struktur organisasinya. Barangkali kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang sama dengan Hamas dengan beralasankan faktor-faktor keselamatan dan kerahsiaan.

Seterusnya, dalam soal manifesto calon, tidak ada manifesto yang sama atau disetkan untuk calon-calon di bawah parti atau gerakan tersebut. Masing-masing mempunyai manifesto sendiri dan jika ada, hanyalah untuk calon-calon di bawah satu gerakan yang sama yang akan merebut kerusi di peringkat fakulti. Ini mungkin kerana setiap fakulti mempunyai corak pentadbiran, ruang penglibatan mahasiswa dengan pentadbiran yang berbeza.  Ini sekaligus menunjukkan bahawa calonlah yang perlu bekerja untuk menjayakan manifesto yang dicadangkannya, dengan kerjasama rakan-rakan di dalam MPM selepas menang nanti.

Dalam konteks peluang di dalam MPM, saya kira peluang yang diberikan yang diketuai oleh sahabat saya Wan Ahmad Hazman banyak yang bersifat terbuka. Dalam soal hadir ke mesyuarat kebajikan, peluang sama rata diberikan tanpa ada prejudis "warna". Begitu juga sewaktu Konvensyen Pemimpin Pelajar, Lawatan MPM ke setiap kolej, penglibatan di dalam konvokesyen,Lawatan MPM ke IPT lain dan sebagainya, ianya dijalankan dengan baik. Malah dalam pra persidangan Parlimen Mahasiswa UTM yang saya sendiri kelolakan, tidak ada diskriminasi. Walaupun beberapa maklumat yang mungkin anda baca dari sebuah blog menunjukkan kegagalan persidangan tersebut, namun bagi saya ia merupakan satu percubaan untuk melihat adakah mahasiswa UTM benar-benar bersedia untuk perkara tersebut.

Malah, dalam soal manifesto juga, para jentera kurang memahami manifesto yang disediakan oleh calon mereka. Tugas mereka seolah-olah hanya memasang poster, berkumpul ketika rapat umum, solat hajat dan sebagainya. Sudah masanya jentera turut sama memahami manifesto yang ingin dibawa oleh calon mereka, supaya konsep parti yang digunakan dapat dimaksimumkan fungsinya.


Kita tidak lagi mahu mengundi dengan memberi sebab "saya mengundi beliau kerana beliau dari gerakan A " kerana dalam konteks politik kampus, memilih calon itulah pada pendapat saya lebih utama. Kita tidak mahu melihat apatah lagi mendengar MPM yang tercicir, hilang dalam ramai dan sebagainya. Kita mahu melihat kepada kredibiliti calon. Kita mahu melihat kesediaan mereka untuk membantu mahasiswa. Dan kita juga harus bersedia untuk membantu mereka dalam melaksanakan manifesto dan janji mereka.

Namun begitu, dalam menyentuh soal manifesto, kita harus berpijak pada bumi yang nyata. Tidak salah untuk memikirkan idea yang besar, namun apabila semakin besar idea itu, maka kita juga harus memikirkan bagaimana kita hendak merealisasikan idea tersebut. Ingatlah dan berusahalah untuk menunaikan manifesto-manifesto yang dicanang. Dan untuk pengundi, anda harus ingat manifesto yang dilaungkan oleh calon yang ingin anda undi. Andalah yang akan menjadi "check and balance" kepada MPM.

Malah, saya juga suka untuk berpesan agar kita tidak terlalu taksub dengan calon-calon yang kita sokong. Mereka juga manusia, dan mereka juga melakukan kesalahan. Jangan disebabkan beliau dari gerakan yang lain, kita menghentamnya sedangkan pemimpin-pemimpin yang bakal kita angkat tersebut melakukan kesalahan, culas dalam tanggungjawab, kita berdiam diri. Ini tidak molek untuk kematangan minda mahasiswa UTM yang berterusan.

Saya juga berharap, agar gerakan-gerakan yang ada meletakkan calon yang penuh kredibiliti, bijak membahagi masa dan mampu menjadi ikon kepada mahasiswa dalam apa jua bidang baik dari segi solat jemaahnya, hubungan dengan mahasiswa dan sebagainya. Kita tidak mahu calon yang tangkap muat atau sekadar memenuhkan kerusi. Hatta jika ada sekalipun, saya berharap agar jentera-jentera yang ada mampu memimpin dan membantu calon-calon yang difikirkan "tangkap muat" tersebut untuk benar-benar memahami tanggungjawab menjadi MPM. Saya sendiri sedia untuk membantu sekiranya difikirkan saya mampu membantu golongan sedemikian. Saya cukup yakin dan percaya, bahawa PRK kali ini akan dipenuhi dengan calon yang benar-benar bersedia.InsyaAllah.

Akhir kata, saya berharap agar politik kampus UTM terus matang, tanpa ada usaha mensabotaj, kutuk mengutuk dan sebagainya. Terus fokus pada apa yang ingin disampaikan, dengan melupakan terus tohmahan. jangan merendah-rendahkan calon lain. Berjuanglah.dan ingatlah, niat yang utama adalah Kerana Tuhan Untuk Manusia. Peganglah moto itu sebaiknya.

Saya hanya berbicara mengenai pendapat saya. Dan saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas tulisan ini.Sekiranya tulisan ini hanyalah mengundang perpecahan,maklumkanlah kepada saya.

No comments:

Post a Comment