Saturday, September 22, 2012

6 Tuntutan: Satu analisa Dari Kaca Mata Mantan MPMUTM

Assalamualaikum semua.



1.0   PENDAHULUAN

         Akhirnya pilhanraya kampus kembali semula. Semua calon, jentera, dan mereka yang terlibat dengan PRK sudah mula mempersiapkan segala kemampuan dari segi wang ringgit, tenaga dan masa untuk membolehkan calon-calon yang diketengahkan mendapat undi tertinggi dalam PRK kali ini. Bagi mereka yang telah bertanding sebelum ini, pastinya ini menjadi pengalaman yang kedua buat mereka dalam PRK kali ini. Agak pelik di bumi UTM ini, notis pengistiharan pilihanraya kampus kurang disebarkan dan dimaklumkan kepada umum. Jika dibandingkan dengan IPT lain, sebaik sahaja pihak pentadbiran mengeluarkan notis ini, maka ura-ura dan perbincangan mengenai PRK menjadi topik utama perbualan baik di alam maya mahupun secara lisan.  Mereka yang akan bertanding akan mula menyampaikan kata-kata nasihat, menukar gambar profil di mana-mana laman sosial dan sebagainya. Bakal calon akan cuba untuk semaksima mungkin mengambil tahu mengenai isu kebajikan mahasiswa, yang kadangkala langsung tidak dipandang oleh sesetengah dari kita.

Bermula dari kemasukan mahasiswa baru ke kampus hinggalah hari ini, perang saraf dan idea telah mula dimainkan oleh mereka yang akan bertanding. Tidak salah jika saya katakan perang saraf ini dijalankan oleh parti yang menaungi sekumpulan calon di kampus ini. Parti ini hanya wujud tatkala menjelangnya PRK dan akan meminimumkan publisitinya setelah keputusan PRK diumumkan. Dan mutakhir ini, beberapa idea cuba dipaparkan di laman sosial, dengan harapan sebagai memberi petanda gelombang gerakan masing-masing. Dalam masa yang cukup mengcengkam ini, saya cuba menganalisa sebaik mungkin penjelasan mengenai idea yang diketengahkan. Dan penjelasan ini hanyalah sekadar pandangan peribadi, dan tidak memihak kepada mana-mana gerakan.

6 tuntutan yang diketengahkan oleh sekumpulan gerakan mahasiswa di UTM merupakan satu perbincangan idea yang menarik. Tahniah atas pembawaan beberapa idea yang segar, namun dalam masa yang sama terdapat beberapa perkara yang saya fikir kurang tepat dengan keadaan di UTM ketika ini.




2.0   6 Tuntutan Ke Arah Mentransformasikan PRK

1) Membenarkan sistem parti Semasa Pilihanraya Kampus
 Sistem parti atau calon berkumpulan ini merupakan salah satu perkara dilarang dilakukan yang terdapat di dalam buku panduan yang diberikan kepada calon. Dan ianya saya lihat sebagai usaha yang bagus, di mana dapat mengagih-agihkan kerja di dalam satu pasukan dengan lebih efisien. Sebagai contoh, calon A akan turut sama membantu mempromosikan calon B ketika beliau berkempen. Analogi mudah, boleh jadi mereka yang menyokong dan mempercayai calon A akan turut sama mengundi calon B memandangkan calon A ada menyebut tentang calon B. Malah di dalam urusan seperti menolong menaikkan poster dan sebagainya, ia menjadi lebih mudah untuk para jentera membantu calon-calon dari kumpulan yang sama.

Ini pastinya satu idea yang menarik jika dilaksanakan, malah sebagai latihan kepada mahasiswa untuk mengundi untuk Pilihanraya Umum (PRU). Ianya jika dilihat dari sudut calon, memang menguntungkan. Begitu juga kepada penyokong-penyokong tegar sesuatu kumpulan, untuk mengundi calon dari kumpulan mereka. Namun, terdapat beberapa persoalan yang berlegar di dalam fikiran saya. Dalam konteks PRK di UTM, adakah mengundi parti atau kumpulan itu lebih utama berbanding kredibiliti calon mahupun manifesto? Bagi saya, mengundi pemimpin yang berkredibiliti tinggi lebih utama disamping manifesto dan parti/gerakan yang dinaungi. Ini adalah kerana pada kertas undi, hanya terdapat wajah dan nama calon, dan bukan parti atau gerakan yang didokongi.

2) Pengurangan Jumlah Kerusi Yang Dipertandingkan di Setiap Fakulti

Jelas,jumlah kerusi sebanyak 55 di UTM (merujuk MPMUTM 2010/2011) meletakkan UTM di antara IPT yang mempertandingkan jumlah kerusi yang banyak sekali. Beberapa fakulti yang mempunyai kapasiti mahasiswa yang tidak ramai turut diberi jumlah kerusi yang sama iaitu 3. Dan bagi saya, meletakkan jumlah maksimum kerusi dipertandingkan adalah 3 bagi setiap fakulti.

Namun, apabila melihat kepada penjelasan perkara ini, ianya tidak selari dengan apa yang dikatakan. Di bahagian tajuk, memperkatakan mengenai pengurangan kerusi di peringkat fakulti, namun dalam penjelasan pula mencadangkan supaya tidak dipertandingkan kerusi umum. Mungkin pihak pencadang ada definisi lain di sebalik ayat tersebut, namun menurut apa yang saya fahami, ianya memberi makna tiada kerusi umum dipertandingkan. 

Beberapa hujah ditampilkan dengan mengambil teladan dari kisah lalu di mana ada di antara calon yang menang di kerusi umum tidak mendapat tempat di dalam ahli Majlis Tertinggi. Pada hemah saya ianya cukup bagus, namun dek kerana tidak terkandung di dalam perlembagaan MPM, maka ianya memberi ruang yang jelas dan luas untuk semua tidak kira dari peringkat mana untuk berada di dalam Majlis Tertinggi MPM. Jika ini merupakan mesej yang cuba disampaikan, saya kira bukan mentransformasikan PRK, tetapi lebih tepat diganti kepada penambahbaikan MPM. Ini adalah kerana urusetia pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar tidak terlibat dalam menentukan siapa di atas dan siapa di bawah,siapa yang menjadi exco dan sebagainya.

3) Tarikh Pilihanraya Kampus Yang tetap

Perkara ini sebenarnya memang sudah ditetapkan, iaitu bila mana bubarnya Kabinet MPM, maka akan bermulalah proses pelantikan MPM baru dimulai dengan notis pengisytiharan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Namun untuk kali ini, berlakunya perubahan atas sebab semester pengajian yang baru tahun kedua dimulakan sejak September. Tarikh pilihanraya biasanya sudah tetap,namun hanya diketahui secara umum pada bulan berapa ia diadakan. Sekadar perkiraan mudah, kontrak Rakan HEMA akan tamat pada 30 September 2012. Maka, pastinya pilihanraya boleh jadi dalam tempoh 1 bulan sebelum mahupun 1 bulan selepas. 

Namun, bagi saya, tempoh yang terlalu dekat dengan tarikh kemasukan baru adalah kurang sesuai kerana mahasiswa baru masih belum mendapat akses secara menyeluruh. Saya berpendapat ianya perlu diadakan pada semester kedua bagi setiap sesi. Ini memberi ruang yang lebih luas kepada semua mahasiswa untuk mendapatkan maklumat yang benar, tepat lagi sahih mengenai calon-calon yang diketengahkan.

Merujuk kepada perkara 3(b) iaitu memberi kefahaman politik mahasiswa, maka saya melihat ianya dapat dilakukan dengan memberi penjelasan mengenai fungsi sebenar MPM dan bagaimana proses PRK dijalankan. Maka, Urusetia Pemilihan MPM patut ditubuhkan awal dan memulakan tugas dengan memberi pendedahan awal mengenai peri pentingnya pengundi menjalankan tanggungjawabnya pada PRK. Seperti mana pihak SPR menjalankan kempen mari mendaftar sebagai pengundi kepada mahasiswa, maka ianya juga perlu diadakan agar peratus mereka yang keluar mengundi adalah mencecah 90%.

4) Penglibatan Mahasiswa Dalam Jawatankuasa Pilihanraya Kampus
Menyentuh soal penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya kampus, saya melihat telah berlaku sebaran maklumat mengenai peluang untuk semua mahasiswa menjadi pemerhati kepada PRK di UTM. Jika anda meragui sistem yang dijalankan, maka hantarlah wakil anda untuk menjadi pemerhati. Lihat dan perhatikan. Sekiranya ada perkara yang meragukan, laporkan pada pihak yang bertanggungjawab. Cuma cadangan agar mantan MPM menjadi salah seorang di antara individu penting di dalam jawatankuasa ini, saya melihat ianya idea yang menarik.

5) Mahasiswa diberi kebebasan berkempen sepenuhnya
Apabila melihat kebebasan berkempen yang dinyatakan , ianya melibatkan kepada permohonan agar dibenarkan berkempen di kolej. Namun, seperti apa yang tertulis dan saya kira semua calon sudah maklum, kolej juga termasuk di dalam kawasan yang dibenarkan berkempen. Apakah maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh pihak pencadang ? Apakah ianya mahukan kebebasan agar para calon berkempen tanpa mendapat kebenaran pengetua mahupun JKM ? Konteks kebebasan itu begitu subjektif. Bebas bukan bermaksud bebas dari sebarang peraturan. Selagi mana peraturan tersebut baik, maka ikutilah ia.

Dalam hal ini, saya melihat perlunya diluaskan skop tugas dan ruang lingkup tanggungjawab pihak urusetia pemilihan. Malah, kita sendiri sudah ada Sekretariat Pencegah Rasuah di UTM. Para penggerak sekretariat ini harus berperanan sebagai badan bebas bagi menilai dan mengawasi sebarang usaha yang boleh diklasifikasikan sebagai rasuah. Dalam urusan di kolej, saya melihat perlunya pihak keselamatan dan urusetia pemilihan MPM menjadi badan yang mempunyai kuasa membenarkan calon berkempen di tempat yang dibenarkan, hatta ia terletak di dalam kawasan kolej.

Apabila menyentuh soal tempoh berkempen, maka saya kira tempoh yang diadakan kini sudah cukup efektif. Tempoh yang terlalu lama akan meningkatkan kos pengurusan. Perkara ini seperti tidak selari dengan tuntutan keenam. Kita mahu tempoh berkempen yang lama, tetapi meminta dana untuk diberikan kepada calon atas alasan untuk mengelakkan calon berhutang. Semakin panjang tempoh berkempen, pastinya semakin bertambah jumlah dana yang diperlukan.
Perkara 5.1 b bagi saya tidak menggambarkan ciri-ciri keseluruhan mahasiswa UTM

“ Tidak menyusahkan calon untuk berkempen kepada pelajar-pelajar terutama di luar kampus… “
Mahasiswa UTM semuanya tinggal di dalam kampus. Jika ada pun, jumlahnya tidak terlalu ramai. Boleh jadi idea ini sesuai untuk IPT lain, maka selidikilah terlebih dahulu samada sesuai untuk kampus UTM ataupun tidak.

6)Memperuntukkan Dana Kepada Setiap Calon
Dalam soal peruntukan dana, pada hemah saya, ini adalah salah satu contoh pengorbanan awal sebagai menjadi pemimpin mahasiswa. Menjadi pemimpin yang sedia mengeluarkan wang ringgit mereka sendiri untuk membantu mahasiswa. Namun, adalah satu perkara yang mengejutkan saya jika ada calon yang terpaksa berhutang disebabkan terpaksa membiayai kerja-kerja teknikal publisiti seperti penyebaran poster dan sebagainya.
Dalam mendepani perkara ini,perlunya diadakan perkiraan bajet yang tepat bagi memastikan poster yang dipasang benar-benar berkesan. Kenal pasti lokasi penting untuk dipasang poster, cuba dapatkan jumlah perbelanjaan kasar daripada calon-calon yang pernah bertanding. Jika bertanding di peringkat fakulti, maka pastinya jumlah bajet yang diperlukan sedikit dari calon umum.
Jika perkara ini menjadi masalah sebenar, maka saya melihat pentingnya tuntutan yang pertama dilakukan. Namun , selepas itu pastinya timbul pula persoalan. Dari sumber manakah parti/gerakan mendapat wang ? Sekiranya setiap gerakan/parti mampu membentangkan dari mana dan ke mana wang itu digunakan dan sedia untuk disiasat oleh mana-mana badan bebas, maka saya kira persoalan ini mampu diselesaikan.


3.0   KESIMPULAN
Saya cukup teruja dengan idea-idea yang disampaikan, cuba saya berharap agar ianya benar-benar sesuai dengan keadaan politik kampus di UTM. Tidak salah mengambil idea lain, Cuma perlulah diselarikan dan disesuaikan dengan situasi di UTM.
Pembaikan PRK merupakan satu usaha yang bagus, dan saya kira perkara ini boleh dicadangkan kepada pihak MPM selepas kabinet dibentuk. Saya bersetuju mengenai perkara ini kerana mengambil contoh dari pembentukan Jawatankuasa Pilihanraya di kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang menunjukkan hasil positif. Jelas, jalan diplomasi dan musyawarah itu cukup manis dan terbaik.
 Semua pihak harus berganding bahu mempromosikan PRK dan MPM yang bakal dilantik harus memastikan agar informasi mengenai MPM dan PRK itu sendiri sampai kepada semua pihak terutama sekali pengundi.
Notis mengenai pembubaran MPM, notis pengisytiharan Pemilihan MPM dan muka calon-calon MPM harus ditampal di setiap kolej, fakulti dan bukan sahaja hanya ditampal di papan notis di pejabat HEMA. Malah, setelah menang pun, muka calon-calon yang menang haruslah diwar-warkan.

Pandangan ini adalah sekadar pandangan peribadi demi kelangsungan dan ke arah politik kampus yang lebih segar dengan idea-idea yang membangun.  Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon MPMUTM. Selamat memilih pemimpin yang terbaik. Buat mahasiswa, ambillah kesempatan ini untuk mengenalpasti manifesto yang dicadangkan. Mahasiswa sebagai "check and balance" kepada MPM.


Kerana Allah Untuk Manusia
Muhammad Afdhaluddin Mohd Yusof
Mantan MPMUTM 2010/2011
21 September 2012, Kuala Lumpur

rujukan :

http://www.mediafire.com/view/?s06bvvqszsi68fi

http://www.mediafire.com/?xiq15rh0e20vap7

No comments:

Post a Comment