Wednesday, October 26, 2011

Kepimpinan itu...

Assalamualaikum semua.
alhamdulillah masih diberi ruang dan nafas untuk berbicara sedikit di kesempatan ini.sekarang ni, nak update blog pun kena fikir habis. Bilalah nak penuh idea. Tapi tak mengapa, saya ingin berkongsi hasil karya Dr Ridhuan Tee..

Ingatlah wahai para pemimpin, kepemimpinan itu satu amanah yang akan dihitung oleh Allah SWT. Ada perkiraan dunia akhirat. Rasulullah SAW memberi ingatan kepada Abu Dzar ketika beliau meminta jawatan. Kata Abu Dzar: “Wahai Rasulullah! Tidakkah Tuan memberi jawatan kepada saya”. Baginda seraya berkata: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau lemah. Sesungguhnya jawatan pada hari kiamat itu merupakan kerugian dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan penuh bertanggungjawab” (Riwayat Muslim dan Abu Daud).

Berapa ramai kalangan kita yang mengambil iktibar riwayat hadis tersebut? Berapa ramai yang faham maksud amanah dalam berpolitik? Imam al-Ghazali memberikan beberapa ingatan kepada para pemimpin dalam menjalankan amanah besar ini. Pertama, pemimpin hendaklah meletakkan dirinya supaya bersesuaian dengan semua aliran dan golongan rakyat walaupun berlaku perbalahan di antara mereka. Kedua, Pemimpin hendaklah tidak menghampakan orang yang datang kepadanya untuk mendapatkan keadilan. Ketiga, pemimpin hendaklah mengelakkan diri dari melakukan pembaziran atau hidup mewah yang keterlaluan, kerana akan menyebabkan keadilan sukar ditegakkan.

Keempat, pemimpin hendaklah bersikap terbuka dan lemah lembut, bukan bersifat ganas dan kasar dalam pentadbirannya. Kelima, pemimpin hendaklah menjadikan agama sebagai landasan pentadbirannya. Keenam, pemimpin tidak sepatutnya tunduk kepada desakan sesiapapun dalam menegakkan keadilan.

Ketujuh, pemimpin hendaklah menjaga kebaikan rakyatnya sama seperti dia menjaga kebajikan diri sendiri. Kelapan, pemimpin hendaklah berusaha berdamping dengan rakyat dan menggalakkan mereka menyuarakan hak-haknya. Kesembilan, pemimpin hendaklah mengawasi kakitangan, hakim dan pegawai-pegawai yang lain supaya mereka menjalankan masing-masing dengan jujur dan amanah. Kesepuluh, pemimpin hendaklah menggunakan mandat yang diperolehi untuk mencapai tujuan yang baik.

Pendapat al-Ghazali turut dikongsi sama oleh sarjana dan ahli falsafah bukan Islam seperti Plato, Aristotle, Rousseau, Confucius dan Mencius. Apa yang membezakannya hanyalah dari sudut matlamat yang ingin dicapai. Kepimpinan politik dalam Islam bermatlamat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT ketika menjalankan amanah besar ini.


No comments:

Post a Comment