Tuesday, November 8, 2011

PPSMI

Pendidikan dan Bahasa Kunci Kejayaan Konsep Negara Bangsa


Sejak akhir-akhir ini, di saat kerajaan khususnya dalam mentransformasikan negara melalui beberapa pelan tindakan yang konkrit seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), muncul mula suara-suara kecil yang kembali cuba untuk membuatkan keadaan masyarakat negara menjadi resah. Masyarakat semakin risau jika ianya kembali diadakan atas dasar tekanan politik. Sungguh membimbangkan sekali apabila semua perkara menggunakan penyelesaian secara campur tangan politik,sedangkan ia mampu diselesaikan di peringkat awal.

Mempolitikkan isu PPSMI  seolah-olah kembali membawa kepada arah yang salah. Kita sudah lihat dari segi statistiknya.Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Bagaimanakah konsep negara bangsa ini akan terlaksana? Bilakah masyarakat kita mampu berlapang dada dalam menjayakan pendekatan ini ? Pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia memang merupakan sebuah jalan jauh berliku yang memerlukan keikhlasan semua pihak. Mengapa di suatu ketika dahulu proses asimilasi antara tamadun Islam, tamadun Cina dan India boleh bertembung dengan baik semasa zaman kesultanan melayu melaka ? Masing-masing boleh menerima dengan hati terbuka bahasa melayu ketika itu sebagai bahasa pertuturan sejagat ? Benarlah kata-kata sejarawan, "sesiapa yang melupakan sejarah,pasti akan mengulanginya".

Jika masih bersikap berhati-hati dengan agenda untuk kepentingan sendiri, maka kasihanilah dan timbulkanlah sikap prihatin anda kepada generasi akan datang. Pelajar-pelajar terus menjadi tikus makmal atas keinginan hanya sesetengah masyarakat. Walaupun beban yuran pengajian sudahpun dikurangkan dan cukup menggembirakan hati rakyat, namun oleh sebab permasalahan bahasa ini, seolah-olah hanya pengganti kepada masalah. Mengapa setelah 54 tahun merdeka, masalah asimilasi antara makanan telah berjaya dihadamkan, namun asimilasi dalam aspek pemikiran masih belum berjaya menyerap di dalam jiwa sanubari masyarakat.

Dalam mengulas Gagasan Bangsa Malaysia,  Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak yakin usaha ke arah itu mampu menjadi kenyataan sekiranya rakyat bersedia mengubah persepsi dan minda mereka. Kita haruslah yakin dengan keupayaan bahasa kebangsaan kita. Bahasa yang menjadi lingua franca harian kita di Malaysia, dan menjadi bahasa perantara semasa zaman kesultanan melayu melaka. Lihatlah bangsa Jepun , Perancis dan banyak lagi. Malah, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sendiri menggunakan bahasa kebangsaannya di awal sesi ucapannya sebelum meneruskan dengan bahasa inggeris di dalam majlis yang dihadiri oleh ribuan wartawan asing.

Maka,di sinilah letaknya peranan mahasiswa. Mahasiswa kini saya lihat bergerak aktif melalui pendekatan yang berbeza dengan mahasiswa semasa zaman kemiskinan di Baling pada era 1970 an. Mahasiswa kini giat aktif dalam bidang penulisan, baik di blog,laman web mahupun di media massa. Malah,pendekatan berbincang yakni musyawarah kini sudah mula subur. Jika ada jalan yang baik boleh diambil,maka mengapa tidak kita mengambilnya. Sebagai bakal pewaris kepimpinan negara, mahasiswa harus bijak mengendalikan dan melihat dari pelbagai aspek tentang sesuatu isu. Maka, mahasiswa kini harus sudah mula merangka pelan tindakan agar memastikan konsep negara bangsa ini dapat ditegakkan. Sesi penerangan dan pelbagai program, baik secara sesi dialog mahupun program bersifat santai.

Kerajaan bukan mahu memartabatkan bahasa melayu, kerajaan cuma mahu memartabatkan bahasa kebangsaan. Cuma secara kebetulan bahasa melayu menjadi bahasa kebangsaan, maka hormatilah perkara 152 di dalam perlembagaan negara kita. Saya sedikit terkilan kerana mereka yang tahu membaca ,bertutur dengan lancar perkara tersebut sendiri memperjuangkan PPSMI. Saya sarankan kepada mereka-mereka ini untuk turun ke kampung kampung di pedalaman sebelum kembali memperjuangkan PPSMI dalam menubuhkan sekolah khas yang meneruskan usaha PPSMI tersebut. Namun, sekiranya anda masih lagi tidak yakin dengan pelaksanaan MBMMBI, maka adalah lebih baik anda sendiri mengambil pendekatan mengajar anak-anak anda di rumah matapelajaran matematik dan sains  dalam bahasa inggeris.
 

No comments:

Post a Comment