Monday, September 26, 2011

::Tahniah,Selamat Bergelar Graduan! ::

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, hari ini (27 September )merupakan hari ketiga Majlis Konvokesyen ke-47 di Universiti Teknologi Malaysia dan kebanyakan universiti khususnya IPTA sedang giat mempersiapkan majlis konvokesyen masing-masing. Usaha dan penat lelah bersengkang mata,menimba ilmu di puncak menara gading, akhirnya berbaloi dengan pengiktirafan dari universiti masing-masing.
Namun, setelah bergelar graduan di universiti masing-masing, harusnya para graduan telahpun mempersiapkan rancangan jangka masa pendek dan panjang samada mahu meneruskan pengajian dalam bidang ijazah sarjana muda dan sebagainya, atau mahu menceburi arena pekerjaan yang menjanjikan seribu satu perbezaan dari dunia seorang mahasiswa.

Graduan-graduan yang budiman,
Bergelar graduan,tidak bermakna proses pembelajaran terhenti setakat itu sahaja. Malah,ianya patut disebar luaskan minat untuk terus menuntut ilmu,cumanya prosesnya lebih kepada secara tidak formal. Kehidupan inilah sebenarnya universiti kita, yang menjanjikan sebuah skrip dan sijil  kejayan yang tertulis di dalam buku amalan kita. Mempunyai segulung ijazah tidak bermakna kita harus mendabik dada dan enggan mendengar hatta bersua dengan mereka yang mempunyai taraf akademik yang lebih rendah dari kita. Sedarlah dan tanamkanlah sifat syukur atas nikmat dan peluang yang diberikan oleh Allah untuk anda sepanjang tempoh pengajian anda. Manfaatkanlah ilmu yang ada untuk dikongsi bersama seberapa ramai insan yang lebih memerlukan. Dekatilah masyarakat di luar sana yang amat memerlukan kepakaran anda baik di desa mahupun kota. Dalam menuju status negara maju, maka perkara pertama yang harus dibangunkan ialah kesedaran untuk terus menuntut ilmu di benak pemikiran masyarakat hatta dipelusuk manapun.

Graduan-graduan sekalian,
jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada para pensyarah,rakan-rakan dan tidak lupa ibu bapa yang tidak putus-putus menadah tangan memohon doa agar anda semua beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam pengajian masing-masing.Adalah lebih manis andai anda sendiri bertemu dan melafazkan kata-kata yang berat di mulut tersebut, namun lebih berat lagi timbangannya nanti.Temuilah para pensyarah walaupun sebentar sebelum anda benar-benar meninggalkan kampus yang banyak mengajar anda soal kehidupan.

Buat graduan-graduan yang aktif berpersatuan, teruskan khidmat anda dalam berbakti. Di luar sana banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam menangani masalah-masalah masyarakat. Kepimpinan negara pada masa akan datang,ditentukan oleh generasi muda pada masa kini. Maka, bentuklah generasi muda yang komited kepada suara hati masyarakat,baik di dalam negara, luar negara mahupun di mana sahaja. Jadilah graduan yang berintegriti dan berkualiti, bukan menjadi graduan yang dicaci dan dimaki. Gelaran mahasiswa yang mengangkat martabat anda, jangan sesekali anda cemarkan dengan perbuatan tidak bermoral seperti rasuah,pilih kasih, karenah birokrasi yang melampau dan sebagainya.

Tabahkan hati dalam mencari pekerjaan. Jangan sesekali meninggalkan senjata yang terhebat yang kita ada, iaitu doa. Usaha tanpa doa ibarat membawa senapang tanpa peluru.Berfikiran positif dan terus rasional dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan sebenar. Yang kaya tidak semestinya bahagia, berjawatan tinggi tidak semestinya dipuji, berkuasa tidak semestinya disuka. Carilah hikmah di sebalik setiap kejadian, kerana anda tidak berkeseorangan,tetapi Allah itu masih ada untuk anda.

Dalam satu hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn. Majah, sabda Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." Bagi peminjam-peminjam yayasan negeri, Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) dan sebagainya, rancanglah pembayaran hutang anda ini dengan hemat dan cermat. Janganlah hingga anda turut terjebak dalam statistik mereka yang menjadi peminjam tegar hingga lupa untuk menyelesaikan hutang masing-masing. Lebih-lebih lagi apabila sudah berjawatan besar dan terkenal, sehingga lupa untuk melangsaikan hutang yang utama.

Akhir kata, renunglah kembali apa yang telah universiti,para pensyarah,rakan-rakan berikan kepada anda, baik pemberian secara material,pemikiran dan sebagainya. Seharusnya setelah beberapa tahun menuntut ilmu, anda mempunyai pemikiran yang sihat,segar dan matang, hingga mampu mencetuskan satu atmosfera pemikiran yang baru untuk dunia Malaysia. Selamat bergraduan,dan teruskan berkhidmat untuk watan !

Muhammad Afdhaluddin Mohd Yusof,
Naib Presiden Fakulti,
Majlis Perwakilan Mahasiswa
Universiti Teknologi Malaysia.

No comments:

Post a Comment