Friday, March 8, 2013

Amal Manakah Yang Bermanfaat Untuk Orang lain.

Assalamualaikum semua.

Tafsir surah Yassin dari Buku Nurul Furqan terbitan Telaga Biru Sdn Bhd

[10]Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya – mereka tidak akan beriman.


Ayat ini ditujukan kepada sikap kaum musyrikin di Mekah yang ketika itu enggan menerima dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Tiada beza samada Rasulullah s.a.w telah memberikan dakwah ataupun tidak, sikap mereka tetap sama.

[11]Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.


Ayat ini lebih menjuruskan kepada sifat atau ciri-ciri mereka yang beriman kepada Allah. yakni mereka yang mengingati Allah ( mengikut Al Quran) dan takut Allah secara ghaib.

Mengikuti Al Quran yakni bukan sekadar ikut sambil lewa, tetapi penuh dengan komitmen yang seriusTakut secara ghaib ini mempunyai banyak pandangan dan pendapat ulama, Antaranya ialah
a) Takut pada ancaman Allah
b) Takut pada Allah di saat sendirian

Mengapakah takut secara bersendirian ini dilihat lebih hebat kualiti imannya ? Bayangkan satu situasi di mana adanya majalah yang tak kurang elok berada di masjid dengan majalah tersebut berada di dalam bilik. Pastinya apabila ianya berada di masjid, tidak ada yang berani untuk membukanya kerana segan nanti orang di sekeliling melihatnya. Begitulah juga dengan konsep takut pada Allah di saat sendirian.

Jadi, adakah kita takut pada Allah hanya di saat kita beramai-ramai? Allah. istigfarlah sebanyaknya duhai hati. Allah menghantarkan signal kepadamu untuk kembali padaNya. Rasa kerdil diri ini, jika dibandingkan dengan ilmu mereka-mereka yang lain.

Sebak. Mula terasa.

Dalam konteks membaca Al Quran pula, kita perlu punya niat yang betul untuk membacanya. Adakah sekadar membaca untuk mendapatkan pahala 1 huruf bersamaan 10 kebaikan ? Allah, rendahkan tahap iman kita. Mungkin hanya saya. Hidup punyalah lama, tapi masih lagi tahap keimanan yang sama.

Al Quran haruslah dijadikan sebagai kitab utama rujukan kita. Kitab untuk kita mencari petunjuk,hidayah, taufik dan ketenangan hati. Allah. sedas lagi kena. Refleksi diri.

Ulama juga turut membincangkan mengapa dalam ayat ini nama Allah Ar Rahman dipilih. Ulama membahaskan ayat ini menunjukkan bahawa nilai dan kasih sayang Allah itu lebih luas daripada Sifat Allah yang lain. Masakan tidak, dalam keadaan sendiri pun, tatkala tiada makhluk yang menyedari apa yang kita lakukan, hamba Allah yang beriman akan tetap takut pada Allah.

Allah. tatkala mendengar penerangan ini, hati semakin sebak. Istighfar, ternyata diri ini masih lagi jauh. Membimbing diripun masih gagal. Inikan hendak membimbing orang lain.

[12]Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

Ayat ini pula ditujukan untuk orang islam dan orang musyrikin. Ayat ini menunjukkan bahawa setiap amalan kita sudahpun dicatatkan di dalam kitab amalan kita dan setiap bekas-bekas yang kita tinggalkan seperti bekas tapak kaki dalam perjalanan menuju ke tempat atau majlis-majlis ilmu, semuanya sudahpun dicatatkan.

Sebab itu digalakkan untuk kita mengajar perkara yang baik-baik kepada semua orang. Ustaz juga berpesan, agar mendidik anak-anak sendiri membaca Al Quran, kerana ia akan menjadi bekalan terbaik untuk kita. Kita sendiri tidak tahu dengan ilmu yang kita berikan, siapa tahu anak-anak kita menjadi ustaz yang hebat, yang mempunyai ribuan anak murid. siapa tahu kan ? Nak amalan yang banyak tak ? ajarkan ilmu yang bermanfaat.

Koreksi semula diri. Amalan apakah yang membuatkan orang ramai mengikut apa yang aku sampaikan ? Ada ?

Ayat 13 - 17 pula mengisahkan tentang bagaimana Allah memberi perumpamaan keengganan kaum musyrikin untuk menerima Islam ini melalui satu kisah  yang terjadi di Bandar Anthakiyah. Di mana rajanya menyembah berhala. Allah telahpun mengitiskan bukan setakat 2 orang rasul ( ada pendapat lain mengatakan utusan dari Nabi Isa) malahan ditambahkan lagi seorang untuk memberi dan mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah.

Namun, balasan yang mereka terima  adalah sebaliknya. Mereka dituduh yang mereka hanya manusia biasa. Mereka juga mengatakan Allah tidak turunkan apa-apa dan turut mengatakan kepada utusan tersebut supaya jangan berbohong.

Cerita ini mirip dengan kisah Nabi Muhammad s.a.w . Nabi sedih tatkala dakwahnya tidak diterima dan ayat ini diturunkan sebagai berita gembira untuk Rasulullah s.a.w, dan untuk mengkhabarkan bahawa sebelum baginda, sudah ada kisah yang hampir sama dengan baginda. Malah, jika hendak dibandingkan dengan baginda, kaum di Bandar Anthakiyah itu lebih degil kerana bukan seorang rasul yang diutuskan, tetapi 3 sekaligus.

Di dalam ayat 16 juga turut dimuatkan bahawa mereka yakni utusan-utusan Allah ini memberi penegasan dengan perkataan "Lamursalun". Jika sebelum ini hanya "mursaluun "  kini digantikan dengan "lamursaluun" untuk menunjukkan penegasan dari utusan-utusan tersebut.

Di akhir kuliah, Ustaz turut menjawab beberapa persoalan antaranya ialah berkaitan takdir. Ada yang kata sudah takdir, jadi buat apa perlu beramal dan sebagainya. Kisah ini turut ditanyakan kepada sahabat dan baginda s.a.w menjawab " Beramal lah untuk memudahkan jalan menuju ke destinasi ".

Sebagai contoh saya kira, mungkin ditakdirkan kita akan menjadi lebih baik dari hari ini. Takdir itu telah terpecah dua, cepat atau lambat. Namun, disebabkan kita banyak beramal kepada Allah, maka Allah cepatkan atau hampirkan kita ke destinasi tersebut.

Allah telah atur semua ini, semuanya 50 ribu tahun lagi sebelum terciptanya langit. Hinggakan pen yang penulis takdir-takdir kita ini sudahpun kering dakwatnya. Allahurabbi..

Banyak pengajaran dan koreksi diri dapat kita lakukan. Dan pastinya dengan niat dan matlamat yang jelas, kita pasti tersusun dalam perancangan. Allah, mudahkan jalan aku, dia, kami, dan seluruh umat ini untuk menghampirkan diri kepadaMu, dekat denganMu, beramal dengan sebaik-baik amalan kepadaMu.

Amin.





No comments:

Post a Comment