Friday, February 15, 2013

Memberi Yang Terbaik

 Assalamualaikum semua



Erti hidup pada memberi.

Begitulah ungkapan yang saya pelajari dari Ustaz Hasrizal melalui pembacaan saya di dalam hasil karyanya, mahupun blognya www.saifulislam.com. Ternyata, ianya mempunyai maksud yang sangat mendalam dalam hidup saya. Dan saya juga yakin semoga Allah menitipkan rasa suka memberi di dalam hidup kalian.

Memberi di sini bukan sahaja dengan bantuan wang ringgit. Malah lebih dari itu. Marilah kita melihat konsep memberi dalam erti kata yang lebih luas. Memberi dalam bentuk tenaga, akal fikiran, material mahupun apa sahaja. Namun biarlah ianya bersifat untuk kebaikan. Kebaikan yang dimulai dengan niat yang baik dari pemberi kepada penerima.

dari orange4k.com

Dalam memberi, seharusnya kita memberi yang terbaik dan termampu. Dan pastinya ia perlu dilengkapi dengan niat yang baik.


Penyayangnya Seorang Bapa kepada Anak-Anaknya

Ketika sekitar tahun 2012, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk menjadi tetamu tanah suciNya. Saya pergi bersama beberapa orang staf universiti dan rakan-rakan yang lain. Saya beruntung kerana diberi peluang bersama-sama dengan 2 orang bapa yang cukup sayang pada anak-anak mereka.

Walaupun sibuk menunaikan ibadah di sana, namun hati mereka masih tetap ingat pada anak-anak serta isteri mereka. Ustaz Shahrizal merupakan individu di antara kami yang membeli banyak cenderahati dan buah tangan untuk dibawa balik. Dari kopiah, jubah, baju dan sebagainya. Tatkala sedang mengemas barang-barang tersebut di dalam begnya, Ustaz bermonolog sendiri ,

" ini untuk anak saya.... ini untuk isteri saya..."

Satu persatu barang-barang tersebut disimpan beserta dengan gelaran bagi bakal pemilik barang-barang tersebut. Ustaz kemudian menambah,

" Kita beri barang-barang ni kat depa, depa boleh pakai buat sembahyang (solat). Untung-untung kita dapat pahala juga "

Allah. Saat itu Allah titipkan satu skop memberi yang lebih luas dalam pemikiranku. Memberi untuk kebaikan si penerima. Dan pastinya ia dimulakan dengan niat yang baik.

Seutas Tasbih
Begitu juga tatkala saya berkenalan dengan seorang junior di sekolah. Tatkala saya bertemu dengan beliau, setelah selesai berbual-bual beliau menghadiahkan saya seutas tasbih.

" Simpanlah tasbih ni. Ini hadiah dari saya. Jaga ia baik-baik. Inilah tasbih yang paling saya suka "

Pada awalnya saya menolak memandangkan itu merupakan tasbih kegemarannya. Namun akhirnya saya mengalah dan menerimanya. Memberi yang terbaik ini juga salah satu peristiwa yang kita pelajari dari kisah 2 orang putera Nabi Adam a.s. . Masing-masing mempersiapkan hasil tanaman mereka kepada Allah dan Allah menerima hasil yang terbaik daripada salah seorang dari putera Nabi Adam a.s.  

 
Dari Hakim bin Hizam r.a katanya: ”Tangan yang di atas (tangan yang memberi)
lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta).



Maka, untuk lebih mudah, apa sahaja yang kita beri jika dimanfaatkan sebaiknya oleh si penerima, maka kita akan beroleh pahalanya juga. Jika kita beri hadiah seperti sejadah,telekung, kopiah, tudung, stokin dan sebagainya, jika si penerima menggunakannya untuk beribadah, menunaikan solat, menutup aurat dengan sempurna, maka moga - moga pahalanya turut dicatat di dalam buku amalan kita.

 Anggaplah dalam memberi kepada orang itu, kita memberi kepada diri sendiri. Pastinya kita mahukan yang terbaik. Maka jadilah yang terbaik dan berilah yang terbaik untuk sekelian makhluk. Allah, mudahnya untuk memberi. Mengapalah hati ini masih saja alpa dan leka dengan keluasan yang Allah beri untuk kita. 

 

1 comment:

  1. Kupasan yg menarik tentang hidup untuk memberi :)
    www.positifsihat.com

    ReplyDelete