Mufti Pulau Pinang nafi buat fatwa melulu
Larangan baca al-Quran guna pembesar suara ambil kira semua
GEORGETOWN: Jabatan Mufti Pulau Pinang menjelaskan larangan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh bukan fatwa melulu, sebaliknya nasihat hukum yang diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang berdasarkan kepada permasalahan umat Islam di negeri itu.
Nasihat hukum itu dikeluarkan kerana jabatan berkenaan sering mendapat aduan dan pertanyaan daripada umat Islam di negeri itu sendiri mengenai hukum membaca al-Quran sebelum Subuh menggunakan pembesar suara sejak kebelakangan ini.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, berkata pihaknya bertanggungjawab menyelesaikan kemusykilan dan permasalahan berkaitan hukum Islam di negeri itu dan nasihat hukum dibuat atas rasa tanggungjawab berdasarkan dalil yang sahih.
“Arahan meminta dielakkan bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar serta dalam masjid memang amat wajar dan ia bukannya isu politik tetapi untuk menjaga martabat Islam sebagai agama harmoni.
“Saya amat kesal dengan tuduhan pelbagai pihak yang menyatakan kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat fatwa melulu dan di bawah arahan pihak tertentu berkaitan isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Minggu lalu, Berita Harian melaporkan JHEAIPP mengeluarkan larangan berkenaan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mendapati amalan itu bercanggah hukum syarak dan mengganggu orang lain.
Berikutan itu, pelbagai reaksi yang diterima termasuk menyokong dan membantah keputusan berkenaan. Malah, ada yang mengaitkan keputusan itu seolah-olah Jabatan Mufti ditekan oleh kerajaan negeri supaya mengeluarkan larangan berkenaan.
Hassan berkata, keputusan mesyuarat itu tidak diwartakan dan ia adalah satu keputusan hukum sebagai panduan serta menjelaskan pandangan Islam berhubung amalan berkenaan untuk dipatuhi oleh umat Islam.
Katanya, banyak pihak menyalah tafsir nasihat hukum itu sebagai fatwa dan oleh kerana ia tidak diwartakan, maka pihaknya tidak perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Seksyen 48 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang).
“Rasulullah SAW melarang umatnya mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu orang lain yang sedang beribadat dan yang beribadat juga turut dilarang berbuat demikian.
“Justeru, mana mungkin untuk menguatkan bacaan menerusi pembesar suara sehingga mengganggu mereka yang berada di luar masjid dan kita tak boleh memaksa orang lain untuk mendengar bacaan al-Quran dan zikir kita,” katanya.
Hassan berkata, pihaknya akan membawa nasihat hukum yang diputuskan ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan akan datang bagi membincangkannya dengan mufti dan ulama lain.
“Saya difahamkan melalui media bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir ingin berjumpa dan kami bersedia untuk memberi penjelasan lanjut berkaitan isu ini,” katanya.
################################################################################
maka berhati-hatilah dalam memberi komen,respon terhadap sesuatu perkara.Selidiki terlebih dahulu hujung pangkalnya, kerna kita khuatir apa yang didengar dari mulut orang tidak sama dari realiti. ^^
mungkin jika tetap untuk dipasangkan,mungkin boleh dalam tempoh 10 minit sebelum subuh, sekurang-kurangya sebagai tanda untuk mengejutkan masyarakat Islam. Malah, Saidina Ali sendiri mengelilingi kawasannya untuk mengejut rakyatnya untuk menunaikan solat subuh di masjid secara berjemaah.
Malah,malaikat sendiri mengiringi dengan benderanya orang yang mula-mula sampai di masjid untuk solat subuh dan terus mengiringinya sehinggalah si fulan itu pulang.
rujukan :
1. artikel Berita Harian 16 Ogos 2011
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MuftiPulauPinangnafibuatfatwamelulu/Article
2. Solat Berjemaah Asas kekuatan Peribadi,Masyarakat dan Ummah karya Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman Al Hafiz
No comments:
Post a Comment